Bahasa Melayu mesti jadi bahasa ilmu, bahasa asing perlu diberi ruang – PM

LocalPolitics
28 Jul 2026 • 11:09 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bahasa Melayu mesti jadi bahasa ilmu, bahasa asing perlu diberi ruang – PM

PUTRAJAYA: Penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu mesti terus diperkukuh dalam sistem pendidikan negara, namun pada masa sama ruang perlu diberikan kepada murid menguasai bahasa asing yang kini mempunyai nilai ekonomi dan kepentingan global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu penting bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja memiliki jati diri yang kukuh menerusi penguasaan Bahasa Melayu, malah mampu bersaing di peringkat antarabangsa melalui penguasaan pelbagai bahasa.

Katanya, kerajaan sejak tiga tahun lalu telah memberi penekanan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) supaya memastikan semua murid tanpa mengira aliran persekolahan menguasai Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan baik.

“Penguasaan bahasa mesti dipertingkatkan, khususnya Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

“Pada masa sama, kita tahu kepentingan bahasa Inggeris. Kalau Malaysia mahu diangkat martabatnya sebagai negara hebat, penguasaan bahasa Inggeris itu mesti dipertingkatkan,” katanya ketika berucap pada majlis bersama warga pendidikan di sini hari ini.

Menurut Anwar, kerajaan turut mengambil pendekatan lebih terbuka dengan memberi peluang kepada murid mempelajari bahasa lain seperti bahasa Cina, Tamil, Arab, Perancis dan bahasa asing lain yang semakin penting dalam perkembangan ekonomi dunia.

Katanya, perubahan landskap ekonomi global menjadikan penguasaan bahasa tertentu sebagai satu kelebihan kompetitif, khususnya bahasa Cina yang kini berkembang sebagai bahasa ekonomi antarabangsa.

“Dulu orang melihat bahasa Cina hanya sebagai bahasa yang dituturkan masyarakat Cina di Malaysia.

“Tetapi sekarang apabila perkembangan ekonomi China semakin pesat, bahasa itu sudah menjadi bahasa ekonomi yang penting. Begitu juga bahasa lain seperti Arab, Perancis dan bahasa-bahasa asing yang mempunyai nilai global,” katanya.

Beliau menegaskan, dasar itu tidak harus dipolitikkan atau dianggap sebagai usaha mengetepikan kedudukan Bahasa Melayu.

“Saya konsisten sejak dahulu lagi, penguasaan Bahasa Melayu mesti diperkukuh, penguasaan bahasa Inggeris mesti ditingkatkan dan dalam masa sama kita beri ruang kepada anak-anak menguasai bahasa lain.

“Yang tidak kita kompromi ialah Bahasa Melayu mesti kuat, bukan sekadar serpihan atau tempelan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan pelaksanaan dasar pendidikan baharu termasuk pendigitalan, kecerdasan buatan (AI) dan agenda STEM perlu dilaksanakan secara berhati-hati agar tidak melebarkan jurang pendidikan antara murid bandar dan luar bandar.

Menurut beliau, setiap dasar pendidikan perlu berasaskan prinsip keadilan dengan memastikan semua murid memperoleh peluang yang sama tanpa mengira latar belakang atau lokasi sekolah.

“Kalau kita memperkenalkan STEM, digital dan AI tanpa persediaan yang seimbang, jurang itu akan terus melebar.

“Sebab itu setiap dasar mesti menjamin peluang yang adil kepada semua murid, termasuk mereka di sekolah pedalaman dan luar bandar,” katanya.-UTUSAN

The post Bahasa Melayu mesti jadi bahasa ilmu, bahasa asing perlu diberi ruang – PM appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved