Bahasa Melayu perlu digunakan pada acara formal di Malaysia - Ismail Sabri

LocalPolitics
23 Sep 2024 • 12:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ismail Sabri bersama peserta ketika merasmikan majlis Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu ketiga pada Isnin.

image is not available
Ismail Sabri ketika merasmikan majlis Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu ketiga pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi yang sepatutnya digunakan dalam mana-mana acara formal yang diadakan di negara ini terutama program anjuran agensi kerajaan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu perlu dinormalisasikan di Malaysia sebagai usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan.

Menurutnya, ketika menjadi Perdana Menteri kesembilan, beliau kerap menggunakan Bahasa Melayu pada mesyuarat atau simposium walaupun melibatkan penyertaan daripada wakil luar negara.

"Sebenarnya waktu saya dulu kerap guna Bahasa Melayu sebab ada pelbagai cara untuk mereka faham terutamanya pada zaman sekarang, contohnya boleh guna khidmat penterjemah atau menyediakan terjemahan.

"Jadi saya sarankan agar setiap majlis di negara ini perlu menggunakan Bahasa Melayu, namun kita bermula dulu dengan kerajaan lepas itu minta ia dilaksanakan di sektor swasta.

"Sebenarnya swasta pun bila dia ajak kita merasmikan sesuatu program, kena ikut cara kita iaitu perlu menggunakan Bahasa Melayu," katanya.

**media[2818309]**

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu ketiga pada Isnin.

Tambah beliau, kesedaran mengenai Bahasa Melayu harus diwujudkan di semua peringkat dan tidak perlu ada rasa malu untuk berbahasa Melayu.

Katanya, usaha ini perlu digerakkan oleh semua pihak iaitu kerajaan, swasta, pertubuhan masyarakat sivil mahupun individu.

"Dalam masa sama, beberapa undang-undang perlu dilihat kembali. Pada simposium aspirasi bahasa yang pertama sewaktu pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia, saya telah memberi komitmen untuk meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959.

"Namun sehingga hari ini, masih tiada apa-apa perkembangan terbaharu.

"Kali terakhir Akta DBP 1959 ini dipinda adalah pada tahun 1995, sudah hampir 30 tahun ia tidak dikemas kini dan diperkemaskan berdasarkan isu-isu semasa," jelasnya.