
Kota Kinabalu: Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa) akan menyampaikan sumbangan buku kepada Pusat Sumber lima sekolah terpilih di Tenom pada 28 November depan.
Presiden Bahasa Datuk Jasni Matlani berkata, sekolah terlibat ialah SMK Entabuan, SM St Anthony Tenom, SMK Chinta Mata, SMK Tenom dan SMJK Chung Hwa.
“Sebahagian besar buku yang disumbangkan itu adalah hasil karya penulis Sabah, yang dibeli oleh Datuk Haji Jamawi Ja’afar dan disumbangkan kepada sekolah-sekolah ini,” kata Jasni.
Beliau berkata demikian selepas majlis pertemuan dengan beberapa Ahli Majlis Tertinggi Bahasa, di sini, pada pagi Isnin.
Jasni, yang juga Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia berkata, majlis penyampaian buku itu akan disempunakan oleh Jamawi, yang juga Penasihat Bahasa merangkap Pengerusi SUDC Sabah, di Bilik Mesyuarat SMK Entabuan.
Menurut Jasni, sumbangan buku itu merupakan sebahagian daripada usaha Bahasa bagi menyemarakkan kegiatan sastera di peringkat sekolah, seterusnya menggalakkan budaya membaca dalam kalangan pelajar negeri ini.
“Program berkenaan juga diharapkan dapat memperkenalkan penulis Sabah, terutama dalam kalangan pelajar dan guru, serta memberikan ruang yang lebih luas para pelajar memahami pelbagai isu tempatan yang diangkat dalam karya penulis Sabah,” katanya.
Menurut Jasni lagi, program berkenaan juga penting bagi Bahasa berkolaborasi dengan agensi pendidikan negeri ini, di samping terlibat dalam pelbagai program bengkel penulisan kreatif dengan pelajar dan guru bagi mengimarahkan majlis ilmu dan persuratan.
Dijangka turut hadir di majlis itu nanti ialah Pengetua SMK Entabuan, Azlan Dimon, Pemangku Pegawai Pendidikan Daerah Tenom, Zainal Manaf, serta pengetua sekolah terlibat.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
