Bahaya ketagihan digital, masyarakat perlu bijak mengawal teknologi

TechnologyOpinion
17 Nov 2026 • 9:23 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Bahaya ketagihan digital, masyarakat perlu bijak mengawal teknologi

Di sebalik kepantasan palsu dan kebanjiran maklumat di hujung jari, masyarakat hari ini semakin terdedah kepada penyakit ketagihan digital. Hanya dengan kembali menyemak tujuan asal penciptaan dan memperkukuh kompas moral, manusia mampu membebaskan diri daripada cengkeraman alam maya.

Dwilogi 'Semua di Hujung Jari': Antara kemudahan dan peringatan

Meneliti perjalanan hidup kita sebagai manusia di atas muka bumi ini, kita perlu kerap mengenang semula tujuan asal kita dicipta dan arah sebenar kehidupan yang sedang dituju. Hakikatnya, kehidupan pada hari ini bergerak pada kadar yang amat pantas, seiring dengan pesatnya perkembangan teknologi digital.

Hampir setiap minit, pelbagai berita terkini dan isu semasa melintas di paparan platform media sosial, memperlihatkan betapa lajunya maklumat dihantar dan diterima.

Suatu ketika dahulu, frasa 'semua di hujung jari' sering dilontarkan bagi menggambarkan kemudahan serta kepantasan pencarian maklumat dengan wujudnya teknologi enjin carian seperti Google. Namun pada hari ini, frasa yang sama mungkin lebih wajar dijadikan satu peringatan tegas agar kita sentiasa berwaspada terhadap impak kepesatan teknologi yang semakin tidak terkawal.

Tsunami maklumat dan jerat ketagihan alam maya

Platform media sosial kini tidak lagi sekadar menjadi medan rujukan maklumat, sebaliknya bertukar menjadi ruang pencerobohan dan lambakan pelbagai jenis maklumat sama ada yang kita cari mahupun yang tidak pernah kita inginkan.

Sekiranya dahulu pengguna bertindak secara aktif mencari maklumat, kini algoritma media sosial menyajikan berita tular, konflik semasa, dan trend terbaharu secara agresif sebaik sahaja aplikasi dibuka.

Kitaran maklumat ini berlaku selang beberapa minit. Malang sekali, realiti landskap media hari ini menyaksikan penurunan kualiti maklumat yang sangat membimbangkan.

Pengguna bukan sahaja disajikan dengan berita benar, tetapi terdedah kepada informasi tidak sahih seperti berita palsu dan manipulasi fakta yang mencabar nilai moral masyarakat. Kandungan toksik dan tidak bersopan seperti penggunaan bahasa kesat, fitnah, serta tindakan yang merosakkan pegangan agama.

Penyebaran tanpa tapisan seperti kandungan berunsur negatif yang disebarkan secara meluas tanpa sekatan had umur. Sisi yang lebih gelap memperlihatkan bagaimana ekosistem teknologi ini direka secara sengaja untuk mencetuskan ketagihan psikologi (addictive by design).

Tanpa disedari, masa berlalu begitu cepat. Hasrat asal untuk menyelesaikan tugasan hakiki akhirnya terabai apabila diri leka menyaksikan drama serta pergolakan media sosial selama berjam-jam. Keadaan menjadi lebih parah apabila pengguna turut terjebak di ruangan komen, bertindak sebagai penyokong atau pengecam tegar.

Natijahnya, bukan sahaja masa terbuang, malahan manusia terdedah kepada dosa menabur fitnah dan menyebelahi keburukan.

Hakisan sempadan digital dan ancaman terhadap generasi muda

Kebimbangan terhadap teknologi turut didorong oleh sifatnya yang amat mesra pengguna, tanpa sekatan, dan tanpa sempadan geopolitik mahupun moral. Ketiadaan batasan umur ini ibarat 'lubang hitam' yang berisiko membawa barah sosial kepada masyarakat.

Kanak-kanak di bawah umur kini menjadi mangsa utama pendedahan awal. Seawal celik mata, gajet dan saluran video digital sudah dijadikan peneman setia. Sebelum sempat pandai berbicara, kanak-kanak disajikan dengan visual berliku, limpahan cahaya, dan bunyi yang berlebihan.

Kebiasaan ini jika dibiarkan berlanjutan akan membentuk ketagihan kronik menjelang usia remaja, sehingga anak-anak lebih memilih untuk 'hidup' di dalam skrin gajet berbanding menikmati keindahan dunia realiti. Lantaran itu, amat kritikal untuk kita menilai semula landskap siber ini.

Tanpa kawalan kendiri yang teguh, sesiapa sahaja sama ada anak kecil, remaja, dewasa, mahupun warga emas berpotensi mengalami krisis jiwa dan ketagihan minda akibat sajian maklumat yang toksik.

Penawar ketagihan digital: Kembali kepada tujuan asal penciptaan

Melihat kepada ancaman penyakit digital ini, persoalan utama yang wajib dirungkai ialah: Apakah penawar utama bagi kelekaan digital ini?

Sesuatu yang baik sekalipun akan bertukar menjadi racun andai gagal dikawal dengan bijaksana. Untuk merawat kebiasaan ini, langkah awal mesti bermula dengan muhasabah diri serta penilaian sejujurnya terhadap pola penggunaan teknologi harian kita. Ia membawa kita kembali kepada soalan paling fundamental: Apakah tujuan sebenar kita diciptakan di muka bumi ini, dan ke mana arah perjalanan hidup kita?

Tanpa kompas moral yang kukuh, manusia akan kekal terperangkap sebagai hamba teknologi. Kunci penyelamat sebenarnya berada di hujung jari kita sendiri. Memegang dada, memejamkan mata, dan mengingati kembali tujuan hidup setiap hari bukan lagi satu pilihan, melainkan satu kewajipan bagi memandu perjalanan insan.

Sebagai seorang Muslim, al-Quran dan hadis merupakan dua panduan agung yang sentiasa menyediakan jawapan dan perlindungan daripada kesesatan. Allah SWT telah menegaskan hakikat penciptaan manusia menerusi firman-Nya dalam Surah Az-Zariyat, ayat 56 :

"Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadah kepada-Ku."

Berpaksikan wahyu ini, jelas bahawa setiap detik kehidupan termasuk cara kita mengendalikan gajet dan media sosial mestilah diisi dengan nilai ibadah dan kebaikan.

Menggalas amanah khalifah dan memelihara institusi keluarga

Selain hamba yang beribadah, manusia diamanahkan sebagai khalifah di muka bumi. Mandat besar ini menuntut kita memelihara hubungan dengan Allah SWT di samping menyempurnakan tanggungjawab terhadap sesama manusia. Amanah ini bermula daripada penjagaan diri sendiri, institusi kekeluargaan, peranan dalam pendidikan, sehinggalah komitmen profesional.

Sesuai dengan fitrah manusia yang tidak sunyi daripada kesilapan, keindahan insan terletak pada pintunya untuk sentiasa bermuhasabah dan memperbaiki diri. Transformasi kecil boleh dimulakan dengan menyebarkan perkataan yang baik, menghentikan kebiasaan berlebihan di alam maya, serta melindungi ahli keluarga daripada jurang kebinasaan. Firman Allah SWT dalam Surah At-Tahrim, ayat 6 mengingatkan:

"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka."

Oleh itu, mendekatkan diri kepada Ilahi menuntut kita jarakkan diri dan keluarga daripada cengkeraman gajet yang berlebihan. Walaupun alam siber menyimpan pelbagai manfaat, di dalamnya juga terselindung perangkap kelalaian dan maksiat yang meracuni jiwa.

Terapi Dunia Realiti: Memilih kehidupan perlahan dan penuh kesedaran

Penyelesaian kepada ketagihan digital tidak memerlukan formula yang rumit, sebaliknya menuntut kita kembali menghargai terapi dunia realiti. Sejak dahulu lagi, kehidupan manusia sentiasa sarat dengan alternatif bermakna tanpa perlu bergantung kepada skrin gajet.

Langkah-langkah praktikal yang boleh dihidupkan semula termasuklah menyelak kembali lembaran buku dan mengembalikan budaya membaca buku fizikal yang tersusun di rak bagi menajamkan minda. Seterusnya, menghidupkan meja makan keluarga dengan menikmati juadah bersama sambil bertatap mata dan berkomunikasi secara mendalam tanpa gangguan gajet.

Usaha lain juga boleh dilakukan dengan melancarkan perbualan mesra dan memperbanyak perbualan ringan dan bermakna bersama insan tersayang di ruang tamu. Selain itu , kita boleh menikmati keindahan alam dengan melapangkan masa di luar untuk menikmati keindahan ciptaan Tuhan yang terbentang luas.

Menyantuni perkara yang nyata di depan mata jauh lebih berharga daripada membuang usia dalam alam siber yang gelap dan tidak berpenghujung. Kehidupan yang tenang, perlahan, dan penuh kesedaran ( mindful living ) menawarkan nikmat hakiki berbanding kepantasan palsu di hujung jari.

Ayuh, kita jaga kita - bermula daripada jiwa, keluarga, dan teknologi yang kita genggam hari ini.

*Siti Aishah Zahari

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved