Bahaya Pakai Bulu Mata Palsu, Boleh Jadi Penyebab Kanser

BeautyHealth & Fitness
22 Jul 2025 • 2:03 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Bahaya Pakai Bulu Mata Palsu, Boleh Jadi Penyebab Kanser

Bulu mata palsu kini menjadi trend popular dalam kalangan wanita, terutama dalam dunia kecantikan moden.

Ramai memilih untuk tampil lebih menawan dengan bulu mata yang kelihatan panjang, lentik dan tebal.

Ada yang hanya memakainya ketika bersolek, manakala ada juga yang menjadikan bulu mata lentik sebagai satu keperluan setiap kali keluar rumah.

Tapi sebenarnya, ramai yang kurang memberi perhatian terhadap bahan-bahan yang digunakan dalam produk ini, terutamanya gam pelekat bulu mata.

Walaupun eyelash palsu itu sendiri tidak menyebabkan kanser, ada sesetengah gam yang digunakan mengandungi bahan kimia seperti formaldehid; bahan yang dikenali sebagai karsinogen (punca kanser).

Selain itu, gam yang digunakan juga boleh menyebabkan alahan dan kerengsaan kulit, terutamanya pada individu yang mempunyai kulit sensitif atau yang sedang menjalani rawatan kanser.

Jadi, sebelum ‘main tampal’ saja bulu mata palsu, anda perlu ambil tahu apa sebenarnya yang berlaku di sebalik ‘trend’ kecantikan ini. Ikuti perkongsian lanjut Hello Doktor.

Bulu mata palsu dibuat dari apa?

Ramai tidak sedar bahawa bulu mata palsu dibuat dari apa boleh memberi kesan kepada kesihatan mata.

Umumnya, eyelash palsu di pasaran diperbuat daripada beberapa jenis bahan seperti:

  • Serat sintetik (nylon atau plastik): pilihan yang paling murah dan mudah didapati.
  • Rambut manusia: memberi kesan yang lebih semula jadi.
  • Bulu haiwan seperti mink atau sable: lebih lembut dan ringan tetapi boleh mencetuskan alahan bagi sesetengah orang.

Selain material eyelash itu sendiri, gam pelekat yang digunakan biasanya mengandungi bahan kimia seperti formaldehid yang boleh menjadi punca kanser jika terdedah dalam jangka masa panjang atau jika digunakan secara berlebihan.

Pengguna perlu berhati-hati dan membaca label produk sebelum membeli.

Risiko pemakaian eyelash palsu: Lebih dari sekadar cantik

Walaupun kelihatan cantik di mata kasar, pemakaian eyelash palsu boleh mendatangkan beberapa risiko kesihatan seperti:

  • Alahan pada bahan gam atau material bulu mata
  • Jangkitan kuman jika tidak dibersihkan dengan betul
  • Keguguran bulu asli akibat penggunaan berpanjangan
  • Risiko kerengsaan mata dan kulit di sekitar kelopak
  • Pendedahan kepada formaldehid dalam gam, yang berpotensi menjadi punca kanser jika digunakan tanpa kawalan

Pengguna disarankan memilih gam pelekat bebas formaldehid dan menjaga kebersihan semasa menggunakan eyelash palsu.

Adakah memakai bulu mata palsu haram?

Ulama berbeza pandangan berdasarkan jenis dan tujuan pemakaian.

Ringkasan pendapat:

  • Jika eyelash palsu digunakan untuk tujuan kecantikan semata-mata dan tidak kekal, ada ulama yang membenarkannya dengan syarat ia tidak mengubah ciptaan Allah secara kekal
  • Jika ia digunakan dengan niat menipu (seperti dalam perkahwinan tanpa pengetahuan pasangan), kebanyakan ulama menganggapnya haram
  • Jika eyelash palsu diperbuat daripada rambut manusia, hukumnya haram secara ijmak

Oleh itu, penting untuk wanita mendapatkan maklumat yang sahih dan bertanya kepada pihak berautoriti agama jika ragu-ragu.

Hukum bulu mata palsu menurut Islam

Dalam konteks hukum bulu mata palsu menurut Islam, terdapat beberapa garis panduan umum yang perlu difahami:

  • Dibenarkan jika digunakan untuk berhias di hadapan suami dan tidak diperbuat daripada bahan haram
  • Dilarang jika diperbuat daripada rambut manusia atau digunakan untuk menarik perhatian lelaki ajnabi
  • Perlu dielakkan jika menimbulkan rasa riak atau tujuan menunjuk-nunjuk di khalayak

Ringkasnya, pemakaian eyelash palsu dibenarkan dalam keadaan tertentu, dengan syarat ia tidak bertentangan dengan hukum syarak dan tidak memudaratkan kesihatan.

Sumber: Hello Doktor