Bahaya sindrom rasa diri hebat sangat

Health & Fitness
18 May 2026 • 9:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bahaya sindrom rasa diri hebat sangat
Megalomania menjadikan seseorang hidup dalam dunia yang mereka cipta sendiri yang mana mereka sentiasa betul, sentiasa hebat dan sentiasa layak berada di atas. Foto hiasan

ADA satu wabak yang tidak perlukan virus, tidak perlu vektor dan tidak dikesan melalui ujian makmal. Ia merebak dalam senyap. Menjangkiti pelbagai lapisan masyarakat. Dari pejabat berhawa dingin sampai ke meja kopi kedai mamak. Namanya mudah, rasa diri hebat.

Dalam dunia psikologi, penyakit ini ada nama yang lebih serius iaitu Megalomania, superiority complex dan dalam bentuk yang lebih klinikal, narcissistic personality disorder.

Masalahnya, kita jarang menganggap ini sebagai penyakit. Kita anggap ia keyakinan diri. Kita tepuk tangan bila seseorang bercakap besar. Kita anggap lantang itu berani dan hebat.

Dalam masyarakat hari ini, garis antara yakin dan angkuh sudah kabur. Malah kadang-kadang, yang angkuh itu pula diraikan.

Megalomania menjadikan seseorang hidup dalam dunia yang mereka cipta sendiri. Dalam dunia itu, mereka sentiasa betul, sentiasa hebat dan sentiasa layak berada di atas. Kritikan dianggap ancaman bukan cermin. Realiti pula dianggap musuh, bukan panduan.

Superiority complex sebenarnya bukan tentang kekuatan tetapi kelemahan yang disorok rapi. Orang yang terlalu ingin dilihat hebat selalunya sedang menutup luka dalaman yang tidak pernah sembuh. Mereka meninggikan suara bukan kerana yakin, tetapi kerana takut didengar sebagai kosong.

Bila ia berkembang menjadi narcissistic personality disorder, kita berdepan individu yang bukan sahaja mahu dipuji, tetapi memerlukan pujian itu untuk berfungsi. Empati hilang. Orang lain hanya wujud sebagai alat untuk mengangkat imej, bukan untuk dihargai sebagai manusia.

Menariknya, apa yang dibincangkan dalam psikologi, ini bukan asing dalam tradisi kita.

Dalam Islam, penyakit ini sudah lama dikenali sebagai ujub dan riak. Ujub membuat manusia lupa bahawa segala kelebihan hanyalah pinjaman.

Riak pula menjadikan setiap perbuatan sebagai pentas, bukan ibadah.

Bezanya cuma istilah. Intinya sama. Manusia yang terlalu kagum dengan dirinya sendiri. Akhirnya buta melihat orang lain. Di sinilah bahayanya.

Individu seperti ini tidak sekadar menyusahkan diri sendiri. Mereka merosakkan ekosistem. Di tempat kerja, dalam organisasi, malah dalam kepimpinan. Mereka tidak boleh ditegur, tidak boleh dibetulkan dan paling merbahaya, tidak sedar bahawa mereka bermasalah. Dalam dunia mereka, yang salah sentiasa orang lain.

Ciri-cirinya mudah dikenali. Mereka bercakap seolah-olah paling tahu. Cepat melenting bila dicabar. Berkawan hanya dengan kelas sendiri dan sering hidup dalam naratif di mana mereka sentiasa wira, walaupun realitinya tidak begitu.

Persoalannya, kenapa fenomena ini semakin menjadi-jadi? Kerana kita membiarkannya. Kita memberi ruang kepada budaya memuja imej. Kita lebih menghargai persepsi berbanding substans. Media sosial menjadi pentas sempurna, tempat di mana semua orang boleh kelihatan hebat tanpa perlu benar-benar menjadi hebat.

Akhirnya, masyarakat kita tidak kekurangan orang pandai tetapi kekurangan orang yang sedar diri.

Dan mungkin itu penyakit paling serius. Bukan kerana ia tidak boleh dirawat, tetapi kerana pesakitnya tidak pernah rasa mereka sakit!

Semoga ALLAH membersihkan hati kita daripada sifat sombong, ujub dan merasa diri lebih mulia daripada orang lain.

*Azmi Tarmizi ialah Editor Eksekutif di Sinar Harian. Anak jati Felda Soeharto ini pernah menjadi SU Akhbar Perdana Menteri kesembilan