Bahvest fail saman bagi batal resolusi sementara RM20.4 juta berhubung pertikaian tanah perlombongan
azan
07/07/2023 - 16:15
KUALA LUMPUR 7 Julai - Syarikat perlombongan emas Bahvest Resources Berhad telah memfailkan saman untuk membatalkan resolusi sementara RM20.4 juta yang dipersetujui antara anak syarikat milik penuhnya Wullersdorf Resources Sdn. Bhd. dan Southsea Gold Sdn. Bhd.
Ia adalah berhubung tanah pajakan Southsea Gold yang diduduki Wullerdorf secara salah.
Sebelum ini, Wullersdorf bersetuju untuk membayar deposit tidak boleh dikembalikan sebanyak RM13 juta dalam dua peringkat untuk memulakan perbincangan berkaitan jumlah pampasan terakhir, tanpa menjejaskan Southsea Gold yang menuntut bayaran penuh sebanyak RM20.4 juta ke atas tanah pajakan yang diduduki secara salah di tanah Southsea Gold daripada September 2017 hingga April 2023.
Berdasarkan makluman Bahvest kepada Bursa Malaysia, saman kumpulan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Sandakan juga menuntut pemulangan RM6 juta Wullersdorf yang dibayar Southsea Gold pada 10 Mei sebagai salah satu daripada deposit RM13 juta yang tidak boleh dikembalikan daripada resolusi sementara RM20.4 juta itu.
"Saman itu juga menamakan bekas pengarah urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Bahvest, Datuk Lo Fui Ming; pengarah eksekutif Lo Teck Yong dan pengarah Wullersdorf Chong Khing Chung sebagai defendan," katanya.
Fui Ming memiliki 75% daripada Southsea Gold dan sebelum ini memegang 13.18% pegangan dalam Bahvest pada 10 Mei sebelum melupuskan keseluruhan pegangannya pada bulan yang sama.
Bahvest berkata, saman itu juga menuntut pengisytiharan mahkamah bahawa Fui Ming dan anaknya Teck Yong melanggar fidusiari dan kewajipan berkanun mereka terhadap Bahvest.
Kumpulan itu berkata, saman itu bertujuan untuk menghalang Southsea Gold daripada mengambil sebarang langkah lanjut berkenaan dengan permintaan RM20.4 juta dan penyelesaian sementara, serta daripada mengeluarkan Wullersdorf daripada tanah pajakan perlombongan Southsea Gold dan/atau menghalang operasinya.
Ini turut disertakan dengan tuntutan Bahvest untuk ganti rugi am dan teladan. - DagangNews.com

