Bain Capital, KKR, KV Asia bersaing miliki sehingga 25% pegangan Avisena Healthcare

LocalBusiness & Finance
3 Jul 2026 • 9:34 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bain Capital, KKR, KV Asia bersaing miliki sehingga 25% pegangan Avisena Healthcare Image from: Bain Capital, KKR, KV Asia bersaing miliki sehingga 25% pegangan Avisena Healthcare liza03/07/2026 - 09:34 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Julai – Bain Capital, KKR dan KV Asia Capital disenarai pendek untuk memperoleh pegangan minoriti dalam Avisena Healthcare menerusi urus niaga yang dijangka menilai syarikat penyedia perkhidmatan kesihatan swasta Malaysia itu sekitar RM1.5 bilion (AS$368 juta).

 

Menurut Reuters yang memetik dua sumber yang mempunyai pengetahuan langsung mengenai perkara itu, bidaan bagi urus niaga berkenaan dijangka dikemukakan menjelang penghujung Julai ini. 

 

Bagaimanapun, identiti sumber berkenaan tidak didedahkan kerana rundingan masih bersifat sulit.

 

Pegangan yang ditawarkan dianggarkan antara 20% hingga 25%, dengan nilai transaksi sekitar RM300 juta hingga RM400 juta.

 

Tiga Firma Pelaburan Disenarai Pendek

Bain Capital dan KKR adalah antara firma pelaburan global terbesar dunia manakala KV Asia Capital ialah firma ekuiti persendirian yang memberi tumpuan kepada pelaburan dalam syarikat bersaiz sederhana di seluruh Asia Tenggara.

 

Minat pelabur terhadap aset penjagaan kesihatan di Asia Tenggara terus meningkat berikutan pertumbuhan pendapatan, peningkatan populasi warga emas serta permintaan yang semakin tinggi terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta.

 

Di Malaysia, sektor itu turut menarik perhatian pelabur apabila Sunway Healthcare berjaya mengumpul RM2.9 bilion menerusi tawaran awam permulaan (IPO) pada tahun ini yang menjadi penyenaraian terbesar negara dalam tempoh sembilan tahun.

 

Pada masa sama, firma pelaburan TPG turut melantik bank pelaburan untuk meneroka pilihan strategik bagi Asia OneHealthcare, termasuk kemungkinan penjualan atau penyenaraian awam (IPO).

 

Reuters melaporkan KKR dan Bain Capital enggan mengulas mengenai perkara itu, manakala Avisena Healthcare dan KV Asia Capital masih belum memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mendapatkan komen.

 

Bermula Sebagai DEMC Pada 1996

Avisena Healthcare memulakan operasi sebagai sebuah pusat perubatan kecil di Shah Alam pada 1996 sebelum dikenali sebagai DEMC pada 2001. 

 

Kumpulan itu melakukan penjenamaan semula kepada Avisena Healthcare pada 2018.

 

Kini, Avisena Healthcare mengendalikan Avisena Specialist Hospital, Avisena Women's & Children's Specialist Hospital dan Avisena Renal Care selain memiliki lima fasiliti perubatan dengan lebih 75 pakar perubatan tetap merangkumi lebih 60 bidang kepakaran.

 

Menurut laman sesawang syarikat itu, Avisena Healthcare memberikan perkhidmatan kepada lebih 250,000 pesakit tempatan dan antarabangsa setiap tahun. 

 

Jika dimuktamadkan, urus niaga itu dijangka mengukuhkan lagi minat pelabur global terhadap sektor penjagaan kesihatan swasta di Malaysia dan Asia Tenggara.

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved