Baja Mahal Gila! Tapi Pekebun Sawit Boleh Jimat Dengan 5 Cara Ini

LocalEnvironment
29 May 2026 • 8:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Baja Mahal Gila! Tapi Pekebun Sawit Boleh Jimat Dengan 5 Cara Ini Image from: Baja Mahal Gila! Tapi Pekebun Sawit Boleh Jimat Dengan 5 Cara Ini johardy29/05/2026 - 08:00 Pelepah sawit dan tandan kosong tetap ada gunanya di ladang kelapa sawit. Oleh Mohd Khairil Jamahuri suratpembaca@dagangnews.com

Harga baja semakin meningkat akibat tekanan kos global berpunca daripada konflik di Timur Tengah, gangguan laluan perkapalan di Selat Hormuz yang turut melonjakkan kos tenaga, kos logistik antarabangsa serta kebergantungan kepada bahan mentah import.

 

Selat Hormuz merupakan laluan penting bagi perdagangan minyak, gas dan baja dunia. Sebarang gangguan di kawasan tersebut memberi kesan terus kepada harga input pertanian termasuk baja nitrogen seperti urea.

 

Kenaikan harga baja yang berlaku dari tahun ke tahun memberi tekanan besar kepada pekebun sawit, khususnya kebun matang yang memerlukan pembajaan berkala bagi mengekalkan produktiviti.

 

Dalam struktur kos ladang sawit, pembajaan merupakan antara komponen terbesar selain buruh dan penyelenggaraan. Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), kos baja boleh mencecah 70 hingga 80 peratus daripada jumlah kos penyelenggaraan tahunan kebun sawit matang.

 

Jika penggunaan baja dikurangkan secara berlebihan, hasil buah tandan segar (BTS) boleh merosot sekitar 15 hingga 17 peratus.

 

Sebaliknya, pembajaan NPK lengkap dilaporkan mampu meningkatkan hasil sehingga 17.3 peratus berbanding plot kawalan. Kekurangan nutrien utama seperti nitrogen atau kalium pula boleh menyebabkan hasil jatuh sehingga bawah 50 peratus potensi sebenar.

 

Berikut adalah lima petua yang boleh digunakan sebagai pengganti sementara baja:

 

1. Jangan Buang Pelepah dan Tandan Kosong Sawit

Pelepah sawit dan tandan kosong (EFB) tidak wajar dibakar atau dibuang selepas penuaian. Ia boleh dimanfaatkan semula sebagai sungkupan dan sumber bahan organik dalam ladang.


 

sawit

 


Amalan menyusun pelepah di antara barisan pokok membantu mengekalkan kelembapan tanah, mengurangkan hakisan dan menstabilkan suhu tanah.

 

Kajian juga menunjukkan EFB meningkatkan pH tanah serta kandungan nutrien seperti kalium, kalsium dan magnesium.

 

Sisa pelepah yang mereput turut meningkatkan aktiviti mikroorganisma tanah, sekali gus mempercepatkan kitar semula nutrien secara semula jadi.

 

2. Tanam Kekacang Penutup Bumi Semasa Tanam Semula Sawit

Tanaman penutup bumi seperti Calopogonium mucunoides (Cm) dan Pueraria javanica (Pj) memainkan peranan penting dalam ladang sawit.


 

Calopogonium mucunoides
Calopogonium mucunoides atau di Malaysia dikenali sebagai `kacang penutup bumi'.

 


Ia melindungi permukaan tanah daripada hakisan, mengekalkan kelembapan serta mengurangkan kehilangan nutrien melalui larut resap.

 

Pada masa sama, ia menekan pertumbuhan rumpai dan mengurangkan kebergantungan kepada racun rumpai.

 

Lebih penting, tanaman kekacang ini membantu mengikat nitrogen secara biologi dan meningkatkan kesuburan tanah serta struktur tanah ladang sawit.

 

3. Membaja Mengikut Analisis Tanah dan Daun

Pembajaan tidak boleh dibuat secara anggaran atau rutin semata-mata. Ia perlu berdasarkan analisis tanah dan daun bagi memastikan keperluan nutrien sebenar pokok.

 

Analisis tanah membantu menilai pH, bahan organik dan kandungan nutrien utama, manakala analisis daun menunjukkan status nutrien sebenar pokok sawit.

 

Kajian menunjukkan pengurusan baja yang berasaskan data mampu mengelakkan pembaziran, meningkatkan keseimbangan nutrien dan mengoptimumkan hasil.

 

4. Pastikan Cara dan Masa Membaja Betul

Keberkesanan baja sangat bergantung kepada cara dan masa aplikasi. Pembajaan ketika hujan lebat boleh menyebabkan kehilangan nutrien melalui larut resap dan larian permukaan.

 

Baja perlu ditabur di zon akar aktif dan pada keadaan kelembapan tanah yang sesuai. Kajian menunjukkan penempatan baja yang betul memberi kesan langsung kepada hasil sawit.

 

Pembajaan secara berperingkat dua hingga tiga kali setahun juga lebih efisien berbanding sekali gus kerana mengurangkan kehilangan nutrien.


 

sawit

 


5. Gunakan Semula Bahan Organik dalam Kebun

Bahan organik seperti kompos, biochar, pelepah sawit dan sisa ladang boleh meningkatkan kesuburan tanah serta mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia.

 

Ia memperbaiki struktur tanah, meningkatkan kapasiti pegangan air dan meningkatkan kapasiti pertukaran kation (CEC), sekali gus membantu tanah menyimpan nutrien dengan lebih baik.

 

Kajian menunjukkan kompos dan biochar berasaskan tandan kosong sawit mampu meningkatkan CEC, karbon organik serta pengekalan nitrogen dalam tanah.

 

Penjimatan Kos

Penjimatan kos baja bukan bermaksud mengurangkan nutrien secara sembarangan. Sebaliknya, ia perlu dilakukan melalui pengurusan agronomi yang lebih cekap, berasaskan data dan lestari.


 

sawit

 

sawit

 


Melalui penggunaan sisa ladang, tanaman penutup bumi, analisis tanah dan daun, teknik pembajaan yang betul serta bahan organik, pekebun sawit boleh mengurangkan kos operasi tanpa menjejaskan hasil buah tandan segar (BTS).

 

Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah meningkatkan produktiviti dan menyokong kelestarian industri sawit negara. - DagangNews.com

 

 

MOHD KHAIRIL BIN JAMAHURI adalah Ahli Agronomi dan bertugas di Bahagian Agronomi Inovasi & Khidmat Pertanian LKPP Corporation Sdn. Bhd. (LCSB), Pahang
Parafrasa Terkini standard
View Original Article