Bajet 2023: Moga Peruntukan Mampu Perkasa Umat, Perkukuh Kedudukan Islam - JAKIM

8 Oct 2022 • 12:27 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Sebahagian besar peruntukan akan digunakan untuk membiayai elaun kepada 35,000 guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain. - Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR - Peruntukan RM1.5 bilion diumumkan kerajaan pada Bajet 2023 untuk pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam, diharap mampu memperkukuh pemerkasaan umatnya di negara ini.  

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, ia juga diharap dapat terus memperteguh kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Peruntukan RM1.5 bilion ini adalah bagi pengurusan dan pelaksanaan program keseluruhan agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri termasuk JAKIM, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.  

“Sebahagian besar peruntukan tersebut adalah bagi tujuan pendidikan Islam di seluruh negara, iaitu pembiayaan elaun kepada 35,000 guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), 5,000 guru takmir serta imbuhan kepada 14,373 imam di masjid dan kariah di negeri,” katanya.

Semalam, bajet untuk pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam itu juga memperuntukkan sebanyak RM150 juta untuk penyelenggaraan fasiliti institusi pendidikan di bawah penyelarasan JAKIM, seperti sekolah agama rakyat, pusat tahfiz, pondok dan premis KAFA.

Manakala, bagi agamawan membabitkan seramai 72,000 orang yang terdiri daripada guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, siak, noja dan marbut, kerajaan menyalurkan RM500 secara one-off dengan peruntukan sebanyak RM36 juta.

Hakimah berkata, JAKIM selaku agensi penyelaras pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan menyambut baik pembentangan Bajet 2023 yang jelas menunjukkan komitmen dan kesungguhan kerajaan, meningkatkan syiar Islam di negara ini.

“Sekalung penghargaan dan terima kasih atas keprihatinan kerajaan yang menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.5 bilion, khusus untuk manfaat pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di negara ini,” katanya - Getaran, 8 Oktober 2022