Bajet 2023 Perlu Ambil Kira Impak Kewangan Majikan

Business & Finance
9 Sep 2022 • 5:02 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Hannah Yeoh menggesa kerajaan menyediakan insentif seperti menanggung pembayaran upah syarikat perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) yang majoriti pekerjanya terdiri daripada wanita - Gambar Fail

KUALA LUMPUR - Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober depan wajar mengambil kira impak kewangan yang terpaksa ditanggung majikan ekoran pelaksanaan Akta Kerja (Pindaan) 2022.

Susulan itu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa kerajaan menyediakan insentif seperti menanggung pembayaran upah syarikat perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) yang majoriti pekerjanya terdiri daripada wanita.

Malah katanya, kerajaan juga perlu memberikan elaun kepada majikan untuk mencari pengganti semasa tempoh cuti golongan terlibat.

"Bantuan seperti ini bagi memastikan pindaan undang-undang itu tidak menghasilkan diskriminasi yang tidak diingini oleh golongan ibu atau bapa yang memerlukan cuti materniti atau paterniti sehingga mereka hilang peluang pekerjaan.

"Situasi ini boleh menghalang majikan daripada mengambil wanita untuk bekerja dan secara tidak langsung menjejaskan kebolehpasaran golongan itu yang bekerja,” katanya hari ini.

Menurut Hannah, kebanyakan perniagaan dan syarikat baharu pulih daripada kesan kemelesetan ekonomi disebabkan COVID-19 dan tidak berkemampuan untuk memperuntukkan sejumlah besar perbelanjaan kepada pekerja.

"Jika tanpa libat urus dengan para pemegang taruh, semua pindaan yang baik ini hanya akan menjadi sia-sia sahaja," katanya.

Beliau berkata, meskipun pelaksanaan pindaan berkenaan yang sepatutnya berkuatkuasa pada 1 September lalu tetapi ditangguhkan ke 1 Januari 2023, impak langsung terhadap majikan perlu diberikan perhatian. 

Jelas beliau, maklum balas daripada usahawan wanita yang terlibat dalam pelbagai industri mendedahkan hanya 68.1 peratus daripada mereka menyedari bahawa terdapat perubahan cuti bersalin dan paterniti.

“Kira-kira 78.7 peratus adalah bisnes dimiliki wanita dan mempunyai pekerja wanita berusia di bawah umur 50 tahun.

"Ini bermaksud golongan yang akan terkesan dengan pindaan ini bukan kecil jumlahnya dan kebanyakan mereka masih tidak mengetahuinya," katanya.

Hannah berkata, walaupun Malaysia kini berada di fasa endemik, beberapa pindaan tersebut akan menambah beban kepada majikan pada pasca COVID-19.

Katanya, ramai majikan masih bergelut untuk bangkit, ditambah pula dengan pelaksanaan serentak gaji minimum, kenaikan harga barang dan kekurangan pekerja yang memberikan kesan kepada produktiviti perniagaan mereka.

Beliau berkata, kesemua faktor itu akan memberi impak kewangan yang parah terhadap perniagaan mereka apabila dilakukan serentak.

"Kerajaan juga disaran melakukan libat urus yang lebih ekstensif dengan majikan terutama usahawan dan pemain IKS wanita untuk memahami situasi sebenar mereka.

"Akta Kerja (Pindaan) 2022 wajar disokong kerana ia melindungi pekerja, tetapi pada masa sama kerajaan seharusnya mempunyai persediaan menangani impak kepada majikan," katanya. 

Dewan Rakyat pada 21 Mac lalu meluluskan pindaan Akta Kerja 1955 yang mengandungi beberapa bahagian penting dalam pindaan tersebut termasuk penambahan cuti bersalin daripada 60 hari ke 98 hari, penetapan cuti paterniti tujuh hari, pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam serta aturan kerja fleksibel untuk pekerja. - Getaran, 9 September 2022