Bakal disenaraikan di Pasaran ACE , Express Powerr meterai perjanjian taja jamin dengan Mercury Securities

Business & FinanceStartup
22 Jul 2025 • 1:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bakal disenaraikan di Pasaran ACE , Express Powerr meterai perjanjian taja jamin dengan Mercury Securities

image is not available

22/07/2025 - 13:11

Express Powerr meterai perjanjian taja jamin dengan Mercury Securities menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Julai – Penyedia perkhidmatan sewa generator, Express Powerr Solutions (M) Bhd (Express Powerr) memeterai perjanjian taja jamin dengan Mercury Securities Sdn Bhd (Mercury Securities) bagi tawaran awam permulaan(IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Berdasarkan perjanjian taja jamin tersebut, Mercury Securities bersetuju untuk menjamin sebanyak 65.4 juta Saham Terbitan yang ditawarkan kepada orang awam Malaysia dan Peruntukan Borang Merah Jambu.

IPO Express Powerr melibatkan penerbitan sebanyak 180.0 juta saham biasa baharu, mewakili kira-kira 19.3 peratus daripada modal saham diperbesar, serta tawaran untuk jualan 65.4 juta saham sedia ada.

Daripada jumlah 180.0 juta saham terbitan tersebut, sebanyak 46.7 juta saham akan diperuntukkan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian, 18.7 juta saham kepada pengarah, kakitangan dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan Kumpulan melalui Peruntukan Borang Merah Jambu, 63.2 juta saham melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan 51.4 juta saham melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Express Powerr dijangka disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada suku ketiga 2025. Mercury Securities dilantik sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penjamin Tunggal dan Ejen Penempatan Tunggal bagi tawaran awam IPO tersebut.

Sementara itu, Pengarah Urusan Express Powerr, Lim Cheng Ten berkata, Kumpulan kini memasuki fasa pertumbuhan baharu dan perjanjian penjaminan ini akan mempercepatkan pengembangan Kumpulan ke pasaran pengguna akhir baharu, termasuk industri minyak dan gas.

“Kami melihat potensi besar dalam sektor minyak dan gas yang lazimnya beroperasi di kawasan terpencil yang memerlukan generator sebagai sumber kuasa sementara semasa kerja penerokaan, penggerudian dan pengeluaran.

"Dalam sembilan bulan pertama 2024 sahaja, sebanyak 27 projek minyak dan gas bernilai RM4.46 bilion telah diluluskan, sekali gus membuka prospek yang kukuh untuk industri ini.

"Dalam sektor utiliti pula, TNB telah melabur sebanyak RM21 bilion dalam program Grid Masa Depan bagi meningkatkan rangkaian penghantaran dan pengedaran tenaga. Oleh kerana generator banyak digunakan dalam kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan grid, kami optimis dapat mengukuhkan lagi perniagaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khidmat penyewaan generator milik Kumpulan digunakan dalam situasi kecemasan seperti berlaku gangguan bekalan elektrik, penyelenggaraan terancang serta sebagai kuasa sandaran untuk majlis dan acara khas.

Kumpulan turut membekalkan barangan sokongan seperti papan agihan kuasa, panel penyegerakan penjana, transformer, suis gear, bank beban dan kabel bagi memenuhi keperluan pelbagai pelanggan.

Dengan rekod prestasi selama 20 tahun, Kumpulan itu memiliki aset sebanyak 111 unit generator pelbagai kapasiti merangkumi sistem voltan rendah dan tinggi. Lebih 70% daripada aset ini terdiri daripada unit generator mudah alih yang dipasang pada trak bagi memudahkan pengangkutan dan penempatan ke lokasi berbeza.

Sebagai tambahan kepada perniagaan teras, Kumpulan itu juga berdaftar sebagai pelabur sistem fotovoltaik solar (PV) di bawah program Pemeteran Tenaga Bersih (Net Energy Metering - NEM) dan penyedia perkhidmatan PV dengan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA).

Ini membolehkan Kumpulan memasang sistem PV solar atas bumbung untuk hartanah kediaman dan komersial. Meskipun masih di peringkat awal, langkah ini sejajar dengan matlamat pelepasan sifar bersih Malaysia menjelang 2050 serta menyokong permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian tenaga mampan. - DagangNews.com

standard