Balai perlepasan terminal baharu LTSIP Pengkalan Chepa jadi litar 'mat rempit'

5 Apr 2026 • 10:31 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sebelum itu tular di media sosial pada Sabtu rakaman video gelagat mat rempit yang terdiri daripada anak muda berkumpul beramai-ramai di balai perlepasan terminal baharu LTSIP Pengkalan Chepa.
image is not available
Tinjauan Sinar Harian sekitar jam 7 hingga 9 malam di lokasi pada Sabtu mendapati 'mat rempit' tidak muncul seperti biasa apabila kelihatan kenderaan polis dan JPJ melakukan rondaan secara berkala. Foto: HAZELEN LIANA KAMARUDIN
image is not available
Anggota JPJ melakukan rondaan dan kelihatan beberapa motosikal milik penghantar makanan di sekitar balai perlepasan terminal baharu LTSIP Pengkalan Chepa di Kota Bharu. Foto: HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU - Balai perlepasan di terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di sini yang kurang sebulan beroperasi secara penuh dijadikan litar lumba oleh 'mat rempit'.

Aktiviti terbabit dikatakan berlaku sejak Ramadan lalu sehingga berlarutan pada Jumaat malam apabila ia mulai tular di media sosial selepas dirakam oleh pengguna lapangan terbang berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian sekitar jam 7 hingga 9 malam di lokasi pada Sabtu mendapati kelibat 'mat rempit' tidak muncul seperti mana biasa selepas unit kereta peronda polis (MPV) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan rondaan secara berkala.

Seorang petugas keselamatan yang ingin dikenali sebagai Fattah, 40, berkata, perkara tersebut sudah berlarutan sejak balai perlepasan LTSIP di terminal baharu siap dibuka kepada pengguna pada 19 Mac lalu.

"Setiap malam selepas sahaja waktu berbuka puasa, anak-anak muda tidak kira jantina akan memenuhi kawasan ini dengan menunggang serta membonceng motosikal.

"Mereka jadikan kawasan ini seperti litar lumba. Ada yang buat aksi 'wheelie', rem, melawan arus dan bermacam-macam lagi," katanya ketika ditemui di lokasi.

Menurut dia, paling mengecewakan lagi apabila ada dalam kalangan mereka yang membuat aksi 'wheelie' adalah remaja perempuan.

**media[3482208]**

Ujarnya, ini akan muncul sekitar 40 hingga 50 motosikal dan lepak di hadapan balai perlepasan dengan melakukan pelbagai aksi yang membahayakan orang ramai.

Katanya, setiap kali ditegur mereka akan melawan malah mempermainkan statusnya sebagai petugas keselamatan yang dikatakan tidak mempunyai kuasa untuk menahan dan mengambil tindakan.

"Pihak pengurusan LTSIP juga ada membuat aduan kepada pihak polis beberapa kali. Apabila polis datang buat rondaan mereka lari sekejap, kemudian datang balik tanpa rasa takut.

"Mereka bukan sahaja berkumpul di ruangan perlepasan sahaja, malah di kawasan ketibaan juga. Mereka tunggang motosikal dari atas ke bawah buat macam tempat ini litar," katanya.

Fattah memberitahu, sehinggakan orang ramai hendak bercakap di telefon sukar kerana bunyi bising motosikal.

Ujarnya, perbuatan anak muda ini dilihat boleh menjejaskan imej negeri Kelantan kepada pelancong serta pengguna LTSIP.

**media[3482209]**

"Hari ini Alhamdulillah, selepas ditular oleh orang ramai, polis dan JPJ ada buat rondaan berkala, mereka pun tidak muncul.

"Kalau ada motosikal yang parkir di sekitar balai perlepasan bukan mat rempit tetapi mereka yang bekerja sebagai penghantar makanan menunggu pesanan," katanya.

Sebelum itu tular di media sosial rakaman video gelagat yang terdiri daripada anak muda berkumpul beramai-ramai di balai perlepasan terminal baharu LTSIP serta ada dalam kalangan mereka yang menghalang laluan pengguna pada Sabtu.

Tindakan kumpulan 'mat rempit' itu mengundang pelbagai kritikan pedas oleh warganet.