Balai Seni Negara anjur Program Ipoh Suka Langka sempena ulang tahun ke-67

18 Sep 2025 • 11:36 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Balai Seni Negara anjur Program Ipoh Suka Langka sempena ulang tahun ke-67

image is not available

18/09/2025 - 11:36

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Sept – Balai Seni Negara meraikan ulang tahun ke-67 penubuhannya tahun ini dengan menganjurkan program “Ipoh Suka Langka” pada 19 dan 20 September 2025 sebagai langkah permulaan kepada pembukaan cawangan baharunya di Ipoh.

Cawangan itu bakal beroperasi di bangunan ikonik Pejabat Pos Lama Ipoh, yang akan ditransformasi menjadi sebuah galeri seni kontemporari, sekali gus memperkaya landskap kreatif negeri Perak.

Program Ipoh Suka Langka akan berlangsung di Balai Seni Negara Cawangan Ipoh dan beberapa lokasi penting sekitar bandar raya itu termasuk Dataran Dato’ Sagor, Townhall, Masjid Sultan Idris Shah II serta Pekan Ipoh.

image is not available
Program Ipoh Suka Langka akan berlangsung pada 19 dan 20 September 2025. Orang ramai dijemput hadir memeriahkan pelbagai aktiviti seni, budaya & komuniti.

Balai Seni Negara dalam satu kenyataan memaklumkan sepanjang dua hari program itu berlangsung, pelbagai pengisian seni, budaya dan komuniti akan ditampilkan secara inklusif dan meriah.

“Antara pertandingan yang dianjurkan termasuk Ipoh Plein Air, Mobilegraphy – Jejak Seni serta Pertandingan Mewarna Kanak-kanak.

“Aktiviti komuniti pula merangkumi Skate Jam dan Neon Art Walk, manakala bengkel interaktif meliputi AR Colouring, Tayangan Animasi, Doodle Workshop dan Cupcake Workshop,” menurut kenyataan itu.

Pengunjung juga bakal disajikan dengan persembahan pentas, Bicara Rohani bersama penceramah Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre serta sesi Rapat Kurator bersama penggiat seni.

image is not available
Antara aktiviti yang dianjurkan pada 19 September 2025 termasuk Rapat Kurator, AR Colouring, Tayangan Animasi, Pertandingan Mobilegraphy – Jejak Seni, Skate Jam, Bicara Rohani, Neon Art Walk, Projection Mapping dan Persembahan Pentas.

image is not available
Aktiviti pada 20 September 2025 merangkumi Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, Pertandingan Ipoh Plein Air, Bengkel Doodle, Bengkel Cupcake, Projection Mapping dan Persembahan Pentas.

Menariknya, pertunjukan Projection Mapping akan diadakan di bangunan Balai Seni Negara Cawangan Ipoh setiap malam sepanjang program berlangsung, menggabungkan teknologi digital, ekspresi kreatif dan pengalaman imersif untuk pengunjung.

Program itu akan dirasmikan pada 19 September 2025, pukul 9 malam yang turut disertai pelancaran inisiatif ‘Digitalisasi Ipoh Suka Langka’ serta penyampaian hadiah bagi kategori Kostum Neon Paling Kreatif.

Balai Seni Negara berkata, penganjuran program ini bukan sahaja menjadi medium penyatuan masyarakat, malah menandakan permulaan penting bagi Cawangan Ipoh sebagai mercu seni baharu di Perak.

"Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan program ini untuk meraikan seni, budaya dan komuniti di Ipoh.

"Maklumat lanjut mengenai jadual pertandingan dan aktiviti boleh didapati melalui media sosial rasmi Balai Seni Negara atau laman sesawang www.artgallery.gov.my," katanya. - DagangNews.com

standard