‘Bali, Phuket ada kelebihan tapi Langkawi ada jiwa’

LocalTravel
8 May 2026 • 3:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: ‘Bali, Phuket ada kelebihan tapi Langkawi ada jiwa’
Keindahan alam semula jadi, suasana eksklusif, ketenangan, faktor keselamatan serta keramahan masyarakat tempatan menjadi ‘jiwa’ sebenar Langkawi yang terus memikat pelancong domestik dan antarabangsa. Gambar kecil: Raseli

ALOR SETAR – Dakwaan kononnya Langkawi semakin ‘lesu’ dan ketinggalan berbanding Bali serta Phuket disifatkan tidak adil kerana pulau legenda itu masih kekal menjadi antara destinasi pelancongan utama negara dengan identiti dan keunikan tersendiri.

Persatuan Penggiat Industri Pelancongan Langkawi (PPIPL) menegaskan, kekuatan sesebuah destinasi pelancongan tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan jumlah pelancong yang terlalu padat sehingga menjejaskan kesejahteraan komuniti setempat serta kelestarian alam sekitar.

Pengerusinya, Raseli Yahya berkata, Bali dan Phuket mungkin mempunyai kelebihan tertentu terutama dari sudut hiburan dan pelancongan massa, namun Langkawi menawarkan pengalaman berbeza yang sukar diperoleh di tempat lain.

Menurutnya, keindahan alam semula jadi, suasana eksklusif, ketenangan, faktor keselamatan serta keramahan masyarakat tempatan menjadi ‘jiwa’ sebenar Langkawi yang terus memikat pelancong domestik dan antarabangsa.

“Langkawi bukan destinasi yang lesu seperti didakwa sesetengah pihak. Pulau ini sedang berkembang ke arah industri pelancongan lebih matang, berkualiti dan lestari.Kita tidak mahu pembangunan pelancongan terlalu padat sehingga mengorbankan identiti pulau dan keseimbangan alam sekitar.

“Bali dan Phuket ada kelebihan tersendiri, tetapi Langkawi ada jiwa yang tidak boleh ditiru,” katanya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang mendakwa Langkawi kini semakin ketinggalan berbanding Bali dan Phuket sebagai destinasi pelancongan serantau.

Mengulas lanjut, Raseli berkata, pengiktirafan antarabangsa termasuk status UNESCO Global Geopark serta penyenaraian sebagai antara pulau terbaik dunia oleh Condé Nast Traveler membuktikan Langkawi masih mempunyai daya tarikan tersendiri di mata dunia.

Katanya, data rasmi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) juga menunjukkan jumlah kemasukan pelancong ke pulau itu meningkat secara konsisten selepas pandemik Covid-19.

“Pada tahun 2025 sahaja, lebih 3.21 juta pelancong direkodkan berkunjung ke Langkawi dengan peningkatan 10.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Ini membuktikan Langkawi masih relevan dan terus menjadi pilihan pelancong tempatan serta antarabangsa,” katanya.

Menurut beliau, peningkatan itu didorong pelbagai inisiatif promosi, pembangunan prasarana serta kerjasama erat antara LADA dan pemain industri pelancongan di pulau tersebut.

Dalam pada itu, beliau percaya Langkawi mampu kembali melonjak lebih tinggi sekiranya status pulau bebas cukai dikembalikan sepenuhnya seperti yang pernah dititahkan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Katanya, semua pihak perlu berganding bahu memperkukuh promosi kreatif termasuk pelancongan keluarga dan penganjuran acara hiburan terkawal bagi memastikan Langkawi terus kekal kompetitif di peringkat antarabangsa.

View Original Article