KUALA PILAH – Menjadi pemandangan biasa setiap kali Aidilfitri, kedai emas di pekan Kuala Pilah diserbu pelanggan.
Harga emas yang dikatakan lebih rendah berbanding di tempat lain menyebabkan premis di sini sering menjadi tumpuan, termasuk ketika musim perayaan.
Situasi itu ditambah pula dengan penurunan harga logam berkenaan ketika ini sekali gus mendorong orang ramai yang pulang ke kampung sempena Aidilfitri singgah untuk membeli atau 'cuci mata’.
Nor Qistina Abu Kassim, 29, berkata, dia pada mulanya tidak berhasrat untuk membeli, namun berubah fikiran selepas didorong oleh ibu mentuanya.
“Saya pernah terbaca berita mengenai emas di Kuala Pilah yang lebih murah dan tahun ini pula kali pertama saya beraya di rumah mentua di sini selepas berkahwin pada Januari lalu.
“Emak mentua serta kakak ipar ajak pergi cuci mata, tetapi akhirnya saya terbeli juga gelang tangan bila mereka kata harga di sini lebih murah,” katanya.
**media[3471772]**
Tambahnya, harga yang berpatutan serta reka bentuk yang menarik menjadi antara faktor dia membuat keputusan membeli barang kemas tersebut.
Sementara itu wanita yang mahu dikenali sebagai Normah, 56, pula berkata, sudah menjadi kebiasaan baginya membeli barangan kemas sama ada menjelang Aidilfitri atau ketika Aidilfitri.
"Kebetulan saya nak menyambut menantu Aidiladha nanti dan harga emas tengah turun sekarang, jadi saya ambil kesempatan datang ke sini.
"Saya tinggal di Jempol, jadi nak datang sini tidaklah jauh sangat. Lagi pun Kuala Pilah ini memang popular dengan emas murah," katanya.
Pengurus Kedai Emas Nur Jannah Kuala Pilah, Noor Hasliza Abd Rahman, 44, mengakui suasana orang ramai menyerbu kedai emas di daerah itu ketika Aidilfitri adalah perkara biasa.
Ujarnya, kedainya yang baru dibuka pada Selasa selepas cuti Aidilfitri tidak putus-putus dikunjungi pelanggan, malah ada yang sudah menunggu di luar premis sebelum kedai dibuka jam 10.30 pagi.
"Semalam (Selasa) harga emas kita RM540 segram dan hari ini meningkat kepada RM570. Harga itu tak menentu dan boleh berubah-ubah setiap hari.
"Kalau tengok orang yang datang ini kebanyakannya orang luar yang pulang ke kampung dan sebenarnya setiap kali Aidilfitri suasananya begini," katanya.
Noor Hasliza berkata, penurunan harga emas ketika ini boleh dikatakan bersifat sementara dan kemungkinan naik semula.
Justeru beliau menyarankan orang ramai mengambil peluang mendapatkan barangan logam tersebut.
