'Balik rumah rasa kosong, sampai nak jumpa Ustaz...' - Watie Hanifiah dedah alami fasa meroyan, kongsi cabaran penyusuan selepas bersalin

Health & FitnessFamily & Parenting
24 Jun 2026 • 3:50 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Balik rumah rasa kosong, sampai nak jumpa Ustaz...' - Watie Hanifiah dedah alami fasa meroyan, kongsi cabaran penyusuan selepas bersalin

FASA selepas melahirkan anak sering digambarkan sebagai tempoh paling membahagiakan dalam kehidupan seorang wanita.

Namun di sebalik senyuman yang terukir saat menyambut kehadiran cahaya mata, ada juga ibu yang berdepan gelombang emosi yang sukar dijelaskan dengan kata-kata.

Hakikat itu dikongsi usahawan dan personaliti media sosial, Watie Hanifiah yang membuka cerita tentang pengalaman melalui fasa meroyan atau kemurungan selepas bersalin, sesuatu yang langsung tidak dijangkakannya memandangkan proses kehamilan berjalan lancar tanpa alahan mahupun komplikasi.

Menurut isteri kepada pelawak Shuib itu, perubahan emosi yang dialaminya berlaku secara mendadak sebaik sahaja pulang dari hospital selepas melahirkan anak perempuan mereka, Akira Juwita.

Apa yang lebih mengejutkan, perasaan tersebut hadir walaupun dia dikelilingi insan tersayang yang sentiasa memberikan sokongan.

Image from: 'Balik rumah rasa kosong, sampai nak jumpa Ustaz...' - Watie Hanifiah dedah alami fasa meroyan, kongsi cabaran penyusuan selepas bersalin

“Anak-anak pun dah rasa macam lain, tiba-tiba kita pun rasa diri sendiri lain. Di hospital Watie okey, tapi bila balik rumah, tiba-tiba rasa macam kosong. Walaupun Shuib ada di sebelah uruskan anak, tetap rasa lain… rasa macam tak kena.

“Sampai Watie sendiri rasa macam nak jumpa ustaz sebab rasa macam dah ‘lost’,” katanya.

Tambah Watie, pengalaman tersebut sukar difahami oleh mereka yang tidak pernah melaluinya sendiri.

Baginya, perasaan meroyan bukan sesuatu yang boleh diterangkan secara tepat kerana ia melibatkan pelbagai faktor termasuk perubahan hormon, keletihan fizikal dan tekanan emosi yang datang serentak.

Perubahan mendadak itu juga membuatkan dirinya hilang semangat untuk melakukan rutin berpantang yang lazim dilakukan oleh kebanyakan ibu selepas bersalin.

“Waktu itu Watie rasa tak nak mengurut, macam tak nak buat semua kerja.

“Kita hanya boleh bercerita, hanya boleh bercakap, tapi bagi Watie, selagi kau tak pernah bersalin, kau tak pernah tahu rasa tu macam mana.

“Sejujurnya Watie tak ada rasa sakit bersalin, tak ada alahan. Lepas bersalin baru mengalami semua itu,” ujarnya yang kini bersyukur kerana berjaya melalui fasa berkenaan dengan baik.

Bukan sekadar berdepan cabaran emosi, Watie turut mengakui perjalanan sebagai ibu menyusu membuka satu lagi dimensi pengorbanan yang sebelum ini tidak pernah dibayangkannya.

Katanya, penyusuan susu ibu bukanlah tugas yang mudah kerana ia menuntut komitmen tanpa henti sepanjang masa.

Image from: 'Balik rumah rasa kosong, sampai nak jumpa Ustaz...' - Watie Hanifiah dedah alami fasa meroyan, kongsi cabaran penyusuan selepas bersalin

“Bila menyusu, ini bukan macam kerja biasa. Ini kerja yang tak ada cuti.

“Setiap dua hingga tiga jam kena bangun, kena buat juga. Kadang-kadang sampai rasa macam, tak boleh ke hari ni saya tak nak buat,” luahnya.

Bengkak susu

Dalam tempoh tersebut, Watie turut berdepan masalah bengkak susu selain kesakitan setiap kali mengepam susu.

Ada ketika, keletihan dan kesakitan itu membuatkan dirinya hampir berputus asa. Namun setiap kali melihat wajah Akira, dia kembali mengumpul kekuatan untuk meneruskan perjalanan sebagai seorang ibu.

“Bila tengok anak, rasa macam tak apalah… dia perlukan saya. Walaupun penat, tetap kena teruskan. Sakit satu hal, bila tekap pam susu itu kadang-kadang datang satu perasaan yang susah nak digambarkan.

“Kadang-kadang rasa jahat, tapi bila tengok anak, tak apalah.

“Selagi ALLAH bagi peluang dan rezeki susu, orang lain nak menyusukan anak pun belum tentu ada peluang macam kita. Jadi saya bersyukur,” katanya.

Di sebalik cabaran tersebut, Watie juga terkenal dengan sikapnya yang sangat mementingkan kebersihan terutama dalam penjagaan bayi.

Malah, anak-anak yang lain perlu memastikan diri mereka bersih sebelum dibenarkan mendukung atau bermain dengan Akira.

Ketegasan itu pernah mengundang persoalan daripada anak sulung Shuib, Uwais Alqarni yang hairan melihat layanan istimewa yang diberikan kepada adiknya.

“Saya memang sangat menjaga termasuklah bab kebersihan botol susu. Sampai anak-anak nak pegang Akira pun saya suruh mandi dulu.

“Sampai Uwais cakap, ‘Macam tu sekali eh, mummy buat untuk Akira?,” kongsinya.

Pertanyaan polos itu rupa-rupanya memberi ruang kepada Watie untuk menyampaikan satu pengajaran yang cukup bermakna tentang pengorbanan ibu bapa.

Katanya, apa yang dilihat Uwais hari ini sebenarnya tidak jauh bezanya dengan apa yang pernah dilakukan arwah ibunya, Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin, ketika membesarkan mereka dahulu.

Image from: 'Balik rumah rasa kosong, sampai nak jumpa Ustaz...' - Watie Hanifiah dedah alami fasa meroyan, kongsi cabaran penyusuan selepas bersalin

“Saya cakap, apa yang Uwais nampak mummy buat untuk Akira sekarang, sebenarnya itulah yang arwah ibu buat untuk korang dulu.

“Selagi kita tak kahwin, selagi kita tak ada anak, selagi kita tak melalui sendiri, kita takkan pernah tahu apa yang ibu bapa kita lakukan untuk kita.

“Sebab itu mak-mak selalu cakap, tunggulah nanti bila ada anak sendiri,” katanya.

Dalam masa sama, Watie turut menjelaskan kepada Uwais bahawa perhatian lebih yang diberikan kepada Akira bukanlah kerana pilih kasih, sebaliknya kerana si kecil itu masih memerlukan penjagaan yang lebih rapi berbanding abang-abangnya yang sudah besar.

“Sekarang Uwais nampak apa yang mummy buat untuk Akira. Esok bila Uwais ada anak sendiri, itulah yang Uwais akan buat untuk anak Uwais pula.

“Kalau Uwais cakap mummy sanggup buat macam-macam untuk Akira, sebenarnya sebab dia masih kecil. Dia perlukan perhatian lebih.

“Nanti bila dia besar, mummy akan layan dia macam mummy layan abang dan kakaknya sekarang,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved