Baling Dilanda Banjir Kilat Akibat Hujan Berterusan, Rumah Penduduk ‘Ranap’

4 Jul 2022 • 9:45 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Hujan lebat yang bermula kira-kira 2 petang tadi menyaksikan air Sungai Kupang, Baling melimpah ke kawasan penempatan penduduk berdekatan tebing - Gambar dari Facebook Penduduk Guar Chempedak

KUALA LUMPUR – Hujan lebat berterusan selama beberapa jam di Baling, Kedah menyebabkan perkampungan di daerah itu dilanda banjir kilat.

Bencana itu turut melanda dua buah kampung, iaitu Kampung Iboi dan Kampung Tanjung Luas di Mukim Kupang yang mengakibatkan rumah penduduk dinaiki air.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Rasidah Kassim berkata, hujan lebat yang bermula kira-kira 2 petang tadi menyaksikan air Sungai Kupang melimpah ke kawasan penempatan penduduk berdekatan tebing.

“Pihak APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) menerima laporan mengenai banjir kilat tersebut pada kira-kira jam 6 petang, sebelum anggotanya membuat tinjauan ke lokasi kejadian.

“Anggota APM mendapati beberapa rumah dimasuki air susulan banjir kilat tersebut. Bagaimanapun setakat ini tiada pusat pemindahan dibuka dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya menerusi kenyataan.

Rasidah berkata, setakat ini pihaknya sedang mengemas kini maklumat berkaitan bencana itu, termasuk jumlah mangsa terbabit serta bilangan rumah terjejas atau mengalami kerosakan.

image is not available
Keadaan sebuah rumah yang terlibat dengan banjir di Baling - Gambar dari Facebook Anak-anak Darulaman

image is not available
Keadaan banjir di Baling. - Gambar dari Facebook Anak-anak Darulaman

image is not available
Anggota APM menjalankan misi menyelamat di Baling. - Gambar dari Facebook APM Negeri Kedah

Sementara itu, kejadian terbabit dikongsikan seorang penduduk sebelum tular di media sosial yang menyaksikan penempatan dan kawasan sekitar kampung rosak teruk.

Lebih menyedihkan, ada antara rumah penduduk ‘ranap’ dibawa arus banjir.

Perkongsian video dimuatnaik pengguna Facebook, Sabrina Syed, menyaksikan dia menunjukkan keadaan persekitaran kampung yang rosak akibat bencana itu.

“Kejadian petang tadi sekitar kawasan Lata Celak, Kampung Iboi, Kampung Kuala Kuang, (di) Baling, Kedah. Bila kita cakap balak membawa bala mereka marah. Terimalah, yang merana orang kampung,” katanya menerusi kenyataan di video itu.

Sambil menyebut beberapa nama penduduk di kawasan itu, dia mengatakan kediaman di situ ‘habis dan tiada’ akibat banjir, malah pintu rumahnya sendiri rosak disebabkan bencana berkenaan.

“Rumah, habis kampung kita tengok, takut, habis semua, jalan pun tak ada dah,” katanya dengan suara tangisan. - Getaran, 4 Julai 2022

Kejadian petang tadi sekitar Kawasan Lata Celak, Kampung Iboi, Kg Kuala Kuang, Baling Kedah. Bila kita cakap balak membawa bala mereka marah. Terimalah, yang merana orang kampung.

Posted by Sabrina Syed on Monday, July 4, 2022