Balisong Hantar E-mel Kepada Ibu, Mohon Supaya Tak Bimbang – Polis

16 Jul 2025 • 5:50 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Remaja lelaki warga Britain, David Balisong yang sebelum ini dilaporkan hilang dipercayai telah menghubungi keluarganya melalui e-mel dan meminta agar mereka tidak mencarinya.

Menurut laporan FMT, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, e-mel tersebut dihantar kepada ibunya pada 9 Julai lalu dan telah diperoleh pihak polis semasa siasatan dijalankan.

“Dalam e-mel itu, Balisong memohon maaf kepada keluarganya dan meminta mereka supaya tidak bimbang akan keadaannya. Bagaimanapun, dia tidak memaklumkan bila akan pulang,” katanya.

image is not available

Foto: FMT

Tambah beliau, semakan mendapati tiada rekod menunjukkan Balisong keluar dari Malaysia sejak ketibaannya pada 7 Jun lalu.

Setakat ini, seramai enam individu telah dipanggil untuk memberi keterangan, manakala rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di KL Sentral juga sedang dianalisis oleh pihak polis.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Balisong hilang selepas dipercayai berlepas secara rahsia dari United Kingdom ke Kuala Lumpur tanpa pengetahuan keluarganya pada awal Jun lalu.

image is not available

Foto: Utusan Malaysia

Remaja dari Cheadle, Greater Manchester itu dilaporkan memberitahu adiknya bahawa dia akan keluar awal ke sekolah pada 6 Jun kononnya untuk menduduki peperiksaan GCE Peringkat A.

Siasatan awal mendapati Balisong dipercayai telah menaiki bas menuju ke KL Sentral selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Jun lalu.

Sumber: Free Malaysia Today (Chia Wan Rou)