Balu Dedah Pesanan Terakhir Along Eyzendy, ‘Kena Kuat Demi Anak-Anak, Hidup Mesti Diteruskan’

LocalFamily & Parenting
8 Feb 2026 • 6:59 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

Kuala Lumpur – Balu kepada pelakon Allahyarham Along Eyzendy, Hamidah Mohd Yatim berkongsi pesanan terakhir arwah suaminya yang sering mengingatkan supaya sentiasa kuat demi meneruskan kehidupan bersama anak-anak.

Menurut Hamidah, pesanan itu bukan perkara baharu, sebaliknya sering dititipkan Allahyarham setiap kali keluar bekerja atau berada di luar kawasan.

“Along pesan suruh saya jadi kuat sebab ada anak-anak. Kena teruskan hidup juga kalau tak ada dia. Macam mana pun, hidup mesti diteruskan.

Jadi, memang kena kuat untuk anak-anak. Itu pesan dia dari dulu, sebelum dia sakit lagi,” katanya.

Menurut laporan Harian Metro, Hamidah berkata arwah tidak pernah lupa mengingatkannya supaya menjaga diri dan anak-anak setiap kali mahu keluar rumah, malah pesanan itu diulang berkali-kali seolah-olah sudah memberi isyarat awal buat dirinya.

Selamat dikebumikan pagi tadi

Dalam pada itu, Hamidah memaklumkan jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, Pasir Gudang, Johor kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

“Terima kasih kepada semua yang hadir dan mendoakan. Insya-Allah saya akan sabar dan kuat demi anak-anak,” katanya dalam nada tenang.

Dirawat di ICU sebelum menghembuskan nafas terakhir

Terdahulu, arwah dimasukkan ke Hospital Sultan Idris Shah sejak Jumaat lalu akibat demam serta batuk berpanjangan.

Bagaimanapun, doktor mengesyaki terdapat jangkitan kuman pada stent di saluran hempedu.

Allahyarham kemudiannya ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga pada jam 12.16 tengah malam.

Untuk rekod, Along pernah disahkan mengalami masalah buah pinggang rosak pada 2019 dan menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang pada April 2021 selepas menerima sumbangan organ daripada isterinya sendiri.

Pemergian arwah nyata meninggalkan kesan mendalam buat keluarga serta rakan industri seni tanah air. – The Malaysian Update

The post Balu Dedah Pesanan Terakhir Along Eyzendy, ‘Kena Kuat Demi Anak-Anak, Hidup Mesti Diteruskan’ appeared first on The Malaysian Update.