
IPOH: Meskipun masih dibelenggu rasa sedih kerana kehilangan suami tempat bergantung, Nursyakinah Abdul Ghani, 33, melahirkan rasa lega apabila nasib diri dan empat anak berusia tujuh bulan hingga 13 tahun mendapat perhatian Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Balu kepada Allahyarham Razis Jamal, 41, pengawal keselamatan yang maut disyaki dibunuh 3 Jan lepas itu, layak menerima faedah pencen penakat sebanyak RM1,522.08 sebulan sepanjang hayat.
“Alhamdulillah, sebagai suri rumah sepenuh masa saya amat bersyukur kerana selama ini arwah suami merupakan tempat kami sekeluarga bergantung.
“Bila datang bantuan seperti ini, ada sumber kewangan setiap bulan yang boleh digunakan untuk perbelanjaan dan persekolahan anak-anak saya,“ katanya ditemui pada penyerahan Faedah Pengurusan Mayat PERKESO sebanyak RM2,000 oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak A. Sivanesan di sini hari ini.
Pada 3 Jan lepas, Razis ditemukan maut di sebuah tapak perkhemahan di Gunung Lang dan susulan kejadian itu polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dalam pada itu, Nursyakinah berhasrat meneruskan perniagaan kecil-kecilan menghasilkan aiskrim Malaysia dan tempahan kuih seperti dilakukan ketika arwah suaminya masih hidup.
Menurutnya wang jualan yang diperoleh sekurang-kurangnya dapat menampung duit saku tiga daripada empat anaknya yang masih bersekolah.
“Sejak dulu, kami hidup berjimat cermat hanya beli apa yang perlu, baju pun jarang beli baharu. Anak-anak dah terdidik begitu. Sekarang walaupun dapat bantuan bulanan, saya akan teruskan berniaga untuk pastikan keperluan anak-anak mencukupi,“ katanya yang turut menanggung bayaran sewa rumah RM320 sebulan.
Sementara itu, Sivanesan berkata faedah berkenaan akan mula disalurkan oleh pihak PERKESO ke akaun Nursyakinah mulai Februari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya telah mengarahkan sebuah syarikat pembinaan menjelaskan tunggakan tiga bulan gaji kepada 13 pekerja warga Pakistan di Kampung Changkat Tualang, Kampar.
Menurutnya arahan itu dikeluarkan selepas menerima aduan bahawa pekerja berkenaan tidak dibayar gaji sejak sejak Oktober lepas.
“Menerusi perbincangan dijalankan bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK), pihak majikan bersetuju menyelesaikan bayaran tunggakan gaji tersebut seawal Jumaat lepas. Sepatutnya isu ini sudah selesai, bagaimanapun kita akan pantau untuk pastikan bayaran benar-benar dibuat,“ katanya. -Bernama
