Balu, tiga anak Amirul Hafiz terima pencen penakat PERKESO

LocalFamily & Parenting
3 Apr 2026 • 3:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Seri Dr Mohammad Azman Aziz Mohammed menyerahkan Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) PERKESO kepada Nor Nadia Abdul Majid (kanan), balu kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, ketika menziarahi keluarga tersebut di kediamannya hari ini.Foto Bernama
image is not available
Balu, Nor Nadia Abdul Majid 32, (dua,kiri) bersama anak-anaknya iaitu Muhammad Aqif Amsyar 9, (kanan), Muhammad Atif Izz Rayqal 7, (kiri) dan Nur Humaira 2, (tiga,kiri). Foto Bernama

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Balu kepada Amirul Hafiz Omar, 33, penunggang motosikal yang maut dirempuh pemandu mabuk di Jalan Raya Barat bersyukur apabila mendapat khabar gembira layak menerima pencen penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ibu kepada tiga anak itu, Nor Nadia Abdul Majid, 32, meneriman bantuan bulanan RM2,888.17 manakala anak-anak mendapat manfaat bantuan kewangan pendidikan sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama.

Nor Nadia berkata, bantuan yang diterimanya itu, sedikit sebanyak meringankan beban mereka sekeluarga.

Menurutnya, kehadiran pegawai PERKESO ke rumah dan memaklumkan kelayakan tersebut benar-benar memberi kelegaan.

“Saya bersyukur bila dapat tahu layak terima bantuan PERKESO. Sekurang-kurangnya beban yang ditanggung terasa sedikit ringan terutama dalam membesarkan anak-anak yang masih kecil.

"Bantuan secara berterusan setiap bulan ini menjadi sumber pendapatan tetap buat kami keluarga. Oleh itu, selepas ini saya pula bercadang untuk mencarum dengan PERKESO.

“Walaupun anak-anak menerima manfaat daripada caruman arwah suami, saya tetap mahu mencarum supaya jika berlaku apa-apa kepada saya, anak-anak atau waris tetap dilindungi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohamed Azman Aziz Mohammed ke rumahnya bagi menyampaikan pencen penakat PERKESO dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM).

Nor Nadia berpandangan, caruman PERKESO tidak membebankan kerana jumlahnya rendah namun memberi manfaat besar kepada pencarum dan keluarga.

“Dengan bayaran hanya beberapa ringgit sebulan, ia mampu memberi jaminan kepada masa depan keluarga,”ujarnya.

Sementara itu, Mohamed Azman berkata, semakan pihaknya mendapati Allahyarham Amirul Hafiz yang juga pekerja di TVH Malaysia Sdn. Bhd selama 15 tahun adalah pencarum aktif bawah skim Lindung Pekerja, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Jelasnya, rekod caruman Allahyarham memenuhi syarat kelayakan di bawah Skim Keilatan, sekali gus melayakkan waris menerima pencen penakat sebagai jaminan kewangan berterusan.

"Caruman yang dibuat Allahyarham sebelum ini kini menjadi 'talian hayat' buat balu serta tiga anak mereka yang masing-masing berumur antara dua hingga sembilan tahun.

"Selain itu, PERKESO turut menyalurkan FPM berjumlah RM3,000 kepada waris," ujarnya.

Beliau turut menasihati semua majikan agar menjadi lebih bertanggungjawab dengan memastikan setiap pekerja didaftarkan dan mencarum di bawah PERKESO.

Tambahnya, ramai yang tidak menyedari kepentingan PERKESO selagi belum diuji.

"Kita harus sedar bahawa malang tidak berbau.Dalam kes ini, Allahyarham hanya keluar untuk membeli peralatan sekolah anak, namun tidak menyangka akan terlibat dalam kemalangan maut.

"Apa yang ditinggalkan kepada keluarga hari ini adalah perlindungan keselamatan sosial hasil caruman yang dibuat sebelum ini. Sehubungan itu, saya memohon kepada majikan yang masih belum mendaftar dan mencarum supaya segera berbuat demikian," katanya.