Ban pecah: 32 rumah di Bukit Changgang dilanda banjir, bantuan segera diselaras

LocalEnvironment
25 Jun 2026 • 9:01 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Ban pecah: 32 rumah di Bukit Changgang dilanda banjir, bantuan segera diselaras

SHAH ALAM, 25 JUN: Sebanyak 32 rumah di Taman Langat Utama 2, Bukit Changgang, Banting terjejas banjir susulan kejadian ban pecah, awal pagi tadi.

Susulan kejadian itu, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sepang bersama agensi berkaitan segera turun padang bagi menyantuni penduduk, menilai keadaan semasa serta menyelaras bantuan yang diperlukan.

Ahli Parlimen Sepang Datuk Aiman Athirah Sabu berkata kejadian dipercayai berpunca daripada ban pecah kira-kira 800 meter dari kawasan perumahan berkenaan sehingga menyebabkan air memasuki kediaman penduduk.

“Sekitar 32 rumah terjejas dengan kedalaman air dianggarkan antara satu hingga tiga kaki,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Image from: Ban pecah: 32 rumah di Bukit Changgang dilanda banjir, bantuan segera diselaras
Air sedalam satu hingga tiga kaki memasuki 32 rumah di Taman Langat Utama 2 susulan kejadian ban pecah awal pagi tadi. Foto Facebook Aiman Athirah Sabu

Beliau berkata keutamaan ketika ini ialah memastikan keselamatan setiap keluarga yang terjejas, selain membantu proses pemindahan sekiranya diperlukan.

“Kita juga akan mengenal pasti punca kejadian serta mengambil tindakan susulan bersama pihak berkaitan bagi penyelesaian segera dan jangka panjang,” katanya.

Beliau turut menggesa penduduk yang terjejas supaya mematuhi arahan keselamatan pihak berkuasa dan mendapatkan bantuan sekiranya diperlukan.

"Terima kasih kepada Jawatankuasa Bencana Daerah, agensi teknikal dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, khususnya Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting yang bertindak pantas sejak awal pagi.

“Kita akan terus memantau keadaan ini sehingga situasi kembali terkawal,” katanya.

Image from: Ban pecah: 32 rumah di Bukit Changgang dilanda banjir, bantuan segera diselaras
Anggota bomba membantu penduduk keluar dari kediaman mereka, awal pagi tadi.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar memaklumkan kejadian berlaku kira-kira 11 malam dengan kebanyakan penghuni telah keluar dari kawasan itu.

Ashrul Riezal berkata bagaimanapun pihaknya menerima panggilan kecemasan 4.12 pagi sebelum enam pegawai dan anggota dari BBP Banting tiba di lokasi pada 4.35 pagi bagi menjalankan pemantauan dan operasi bantuan.

“Setakat ini, sebanyak 32 rumah terjejas dengan banjir yang melanda kawasan berkenaan. Pihak bomba turut menasihatkan penduduk yang masih berada di kawasan terlibat supaya segera berpindah ke lokasi lebih selamat sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved