
KANGAR - Seorang banduan meninggal dunia ketika berada dalam tahanan di Pusat Koreksional Perlis, Guar Nangka pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, kematian berkenaan dimaklumkan kakitangan Hospital Tuanku Fauziah kepada pihaknya pada jam 5.25 petang.
"Anggota yang sedang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, telah menerima panggilan daripada pihak Hospital Tuanku Fauziah, Kangar memaklumkan ada seorang banduan daripada Pusat Koreksional Perlis telah meninggal dunia,"katanya.
Beliau menjelaskan, hasil siasatan awal mendapati si mati berusia 28 tahun berasal dari Terengganu merupakan seorang anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis yang ditahan reman atas kesalahan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Si mati ditahan reman di Pusat Koreksional Perlis, Guar Nangka sejak 17 Mac 2023 hingga kini dan sedang menunggu untuk dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Tinggi Kangar.
"Pada Isnin jam lebih kurang 8 pagi, si mati telah diarahkan untuk dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar bagi menghadiri perbicaraan namun enggan dibawa ke mahkamah," katanya.
Jelas Ahmad Mohsin, si mati telah dilawati setiap satu jam oleh warden bertugas dan didapati hanya duduk diam serta baring di tempat tidurnya.
"Kemudian, pada jam lebih kurang 4.30 petang, warden bertugas membuat rondaan di sel telah cuba untuk mengejutkan si mati yang disangka sedang tidur dan mendapati si mati tidak lagi bergerak seterusnya mengarahkan agar dibawa ke hospital dengan kadar segera.
"Pada jam lebih kurang 5.10 petang, pihak hospital mengesahkan menerima si mati dalam keadaan ‘Brought In Dead’ (BID)," katanya.
Hasil siasatan lanjut mendapati, si mati telah ditempatkan di Blok Damai, Pusat Koreksional Perlis bersama dua lagi banduan tahanan.
"Si mati turut mempunyai rekod psikatri yang telah dirujuk di beberapa hospital sejak tahun 2017.
"Siasatan awal pegawai penyiasat kes mendapati tidak menemui sebarang unsur jenayah terhadap si mati yang boleh menjurus ke arah punca kematian,"katanya.
Mayat kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar bagi proses bedah siasat pada Selasa untuk mengetahui punca sebenar kematian.
Menurut Ahmad Mohsin, jenazah dijangka dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halaman di Setiu, Terengganu setelah selesai proses bedah siasat.


