
GEORGE TOWN: Membincangkan kepentingan orang Melayu tidak seharusnya dilihat sebagai memainkan sentimen perkauman kerana perkara itu adalah sebahagian daripada realiti politik Malaysia yang turut berlaku dalam kalangan semua parti politik.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, setiap parti mempunyai tanggungjawab untuk membawa suara dan kebimbangan kelompok masyarakat yang diwakilinya, sama ada parti berbilang kaum mahupun berasaskan sokongan komuniti tertentu.
Menurut beliau, adalah tidak adil apabila isu berkaitan kepentingan orang Melayu sering dilabel sebagai perkauman, sedangkan parti lain juga memperjuangkan perkara yang berkait rapat dengan masyarakat masing-masing.
Katanya, isu seperti pendidikan sekolah Cina, kebajikan pekerja India di kawasan estet atau kepentingan komuniti tertentu turut menjadi perhatian parti politik tanpa dianggap sebagai tindakan berbaur perkauman.
“Takkan apabila kita bercakap mengenai perkara yang dekat dengan masyarakat kita, ia dianggap salah. Saya rasa semua parti politik, tidak kira parti berbilang kaum atau parti yang mewakili kaum tertentu, akan membangkitkan isu penting bagi masyarakat yang mereka wakili.
“Itu tidak bermaksud perkara tersebut membawa unsur perkauman. Kalau kita bercakap soal kepentingan orang Melayu, pendidikan sekolah Cina atau pekerja India di kawasan estet, adakah itu salah? Saya rasa tidak,” katanya.
Terdahulu, beliau menghadiri forum Lepak Pemimpin Ekonomi Kuasa Penjenamaan, Pengaruh dan Penceritaan sempena CTOS SME Biz Day Pulau Pinang di Bayan Lepas di sini.
Khairy berkata demikian, mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil yang mendakwa beliau menggunakan sentimen Melayu untuk kembali bertapak dalam politik.
Menurut Fahmi, kenyataan Khairy yang mengaitkan persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai isyarat supaya PH lebih peka terhadap sensitiviti orang Melayu bukan sesuatu yang mengejutkan.
Menurut Khairy, ketika mewakili UMNO, beliau bercakap mengenai kebimbangan masyarakat Melayu kerana itu adalah tanggungjawab sebagai seorang pemimpin yang mewakili kelompok berkenaan.
“Saya mewakili UMNO dan pada masa itu saya bercakap bagi mewakili masyarakat Melayu serta kebimbangan masyarakat Melayu. Kita pun tidak salahkan parti lain apabila mereka bangkitkan isu masyarakat Cina atau masyarakat India. Itu realiti politik di Malaysia,” katanya.-UTUSAN
The post Bangkit isu Melayu bukan perkauman – KJ appeared first on Utusan Malaysia.






