
DHAKA: Kerajaan Bangladesh mencadangkan hukuman mati bagi kes kehilangan paksa selepas siasatan rasmi merekodkan lebih 1,500 kes sepanjang 17 tahun pemerintahan bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina.
Hasina yang digulingkan menerusi kebangkitan rakyat pada 2024 didakwa menggunakan pasukan keselamatan untuk mengekang perbezaan pendapat, dengan ramai individu yang ditahan terdiri daripada pesaing politiknya daripada Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) dan Jamaat-e-Islami, parti Islam terbesar negara itu.
Suruhanjaya yang ditubuhkan selepas beliau digulingkan merekodkan sekurang-kurangnya 1,569 kes kehilangan paksa sepanjang pemerintahannya, dengan 251 mangsa masih hilang dan dipercayai meninggal dunia.
Perdana Menteri, Tarique Rahman yang mengetuai BNP, berjanji dalam pilihan raya Februari 2026 untuk menamatkan keganasan yang disokong kerajaan yang berlaku sepanjang era pemerintahan Hasina.
Rang undang-undang dikenali sebagai Akta Pencegahan dan Pemulihan Kehilangan Paksa itu bagaimanapun perlu diluluskan Parlimen terlebih dahulu.
“Jika kehilangan paksa itu mengakibatkan kematian. Hukumannya boleh diperluaskan sehingga hukuman mati,” menurut kenyataan Kabinet selepas draf rang undang-undang itu dipersetujui lewat Isnin.
Rang undang-undang itu turut mencadangkan agar keluarga mangsa diberi pampasan yang diambil daripada harta individu yang disabitkan kesalahan.
Walaupun Hasina kini seorang pelarian yang disabitkan bersalah, kumpulan hak asasi manusia berkata, persaingan politik, kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan budaya kebal daripada tindakan undang-undang terus menjadi punca keganasan berterusan di Bangladesh.
Hasina, 78, masih bersembunyi di negara jiran, India. Beliau disabitkan bersalah tanpa hadir oleh mahkamah di Dhaka atas jenayah terhadap kemanusiaan pada 2025 dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.
Minggu lalu Hasina memberitahu AFP beliau bertekad untuk pulang ke tanah air pada tahun ini.-AFP
The post Bangladesh cadang hukuman mati bagi kes kehilangan paksa appeared first on Utusan Malaysia.
