Perkhidmatan internet di seluruh Bangladesh kini disekat sejak 24 jam lalu. Menurut Menteri Pos, Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat Bangladesh, tindakan ini diambil bagi memastikan “keselamatan rakyat” berikutan demonstrasi yang dianjurkan golongan pelajar sejak seminggu lalu.

Protes berlaku kerana sistem kuota kerja untuk penjawat awam didakwa tidak telus dan hanya memilih golongan penyokong kerajaan. Akibatnya 22 orang telah terbunuh kerana pertelingkahan melibatkan golongan pelajar, penyokong kerajaan dan juga polis. Pihak polis menembak gas pemedih mata dan peluru getah bagi menyuraikan demonstran.
Perkhidmatan internet khususnya menerusi peranti mudah alih terjejas pada ketika ini kerana ia adalah akses utama pengguna di Bangladesh. Medium media sosial telah digunakan oleh golongan pelajar untuk menyebarkan maklumat dan menganjurkan demonstrasi. Dengan akses dihalang, kerajaan mungkin ingin cuba menyukarkan proses ini dilakukan.


