Bangunan SK Binanon musnah terbakar, 31 murid terjejas

8 Apr 2026 • 6:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sebuah blok bangunan yang menempatkan kelas bagi 31 murid di SK Binanon, Sook, musnah dalam kebakaran pada awal pagi Rabu.

KENINGAU – Sebuah blok bangunan yang menempatkan kelas bagi 31 murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Binanon, Sook, musnah dalam kebakaran pada awal pagi Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, turut dilaporkan musnah ialah dewan mini, bilik komputer, bilik sains dan stor peralatan sukan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Faisal Ahmad berkata, pihaknya hanya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.22 pagi.

Katanya, seramai tiga anggota dikejarkan ke lokasi yang terletak sejauh 32 kilometer dari BBP Sook.

"Kejadian berlaku sekitar jam 1 pagi, namun disebabkan tiada liputan komunikasi di lokasi menyebabkan maklumat lewat disalurkan kepada pihak bomba.

"Selain itu, akses jalan raya juga tidak boleh dilalui jentera bomba kerana tidak berturap dan berlumpur, menyebabkan kami terpaksa menggunakan kenderaan utiliti dengan perjalanan selama lebih tiga jam untuk ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, memang berlaku kebakaran yang melibatkan lima bilik termasuk dua kelas iaitu Tahun Satu dan Tahun Dua yang musnah sepenuhnya. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan bahawa terdapat seramai 31 murid di sekolah tersebut.

"Sekolah ini dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid dan kebakaran hanya melibatkan satu blok bangunan sahaja yang menempatkan murid tersebut.

"Oleh itu, sesi persekolahan berjalan seperti biasa kerana satu lagi blok bangunan boleh menampung kesemua murid tersebut," katanya.

View Original Article