
BALING: Tindakan segera telah diambil namun proses pemulihan di kawasan terjejas akibat banjir aliran puing 4 Julai lepas memakan masa kerana banyak aspek perlu diteliti agar kejadian sama tidak berulang.
Pegawai Daerah Baling Mohd Shahadan Abdullah (gambar) berkata sejak bencana alam itu melanda kira-kira dua bulan lepas, pelbagai tindakan segera telah dilakukan termasuklah bantuan kewangan dan barangan keperluan kepada penduduk terjejas, mendalamkan sungai, membina jambatan Bailey serta menempatkan penduduk di kawasan bahaya ke lokasi selamat.
“Banyak lagi pengumuman dibuat oleh kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri termasuklah Rancangan Tebatan Banjir (RTB), demi menjaga kebajikan rakyat yang terkesan cuma pelaksanaannya mengambil masa.
“Bagaimanapun, perkara yang boleh kita segerakan telah dilaksanakan secepat mungkin, contohnya kerja-kerja mendalamkan sungai, pembersihan laluan serta memperbaiki kerosakan pada jambatan Bailey,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah portal berita baru-baru ini berhubung dakwaan penduduk mengenai tiada tindakan pantas diambil sejak banjir aliran puing melanda beberapa kawasan di Kupang, di sini pada 4 Julai lepas yang mengorbankan tiga nyawa termasuk seorang ibu hamil empat bulan.
Mohd Shahadan berkata setakat ini, sebanyak 17 kontraktor telah dilantik untuk mempercepatkan lagi kerja-kerja mendalamkan serta membina benteng sungai.
“Malah kerja-kerja yang sepatutnya dilaksanakan pada hari Ahad hingga Khamis, turut dibuat pada hari Jumaat dan Sabtu dan waktu kerja juga dipanjangkan bermula dari 8 pagi hingga 8 malam.
“Tiada pihak termasuklah kerajaan dan saya sendiri yang mahu melihat ada lagi nyawa terkorban akibat bencana ini...cuma rakyat perlu memberikan sedikit masa untuk pihak berwajib membaik pulih, kerajaan tidak biarkan sebaliknya sudah bertindak,” katanya.
Mohd Shahadan yang juga Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) daerah berkata beliau memahami perasaan penduduk yang trauma dengan apa terjadi namun bencana tersebut sudah menjadi masalah geologi berangkai.
“Ada kawasan yang sebelum ini kerap dilanda banjir kilat, cuma kesannya tidak seteruk kejadian pada 4 Julai lepas. Sebab itu, saya katakan bahawa banyak aspek perlu dibuat penelitian sebelum tindakan boleh diambil agar masalah ini dapat diselesaikan, apa yang boleh kita buat segera, kita akan segerakan demi penduduk di situ,” katanya.
Beliau berkata saat diuji dengan kejadian bencana seperti ini, menuding jari untuk menyalahkan pihak lain tidak dapat membantu menyelesaikan masalah.
“Saya yakin kerajaan akan menggandakan usaha untuk mengatasi masalah ini dan menyegerakan tindakan yang perlu bagi mengelakkan kejadian sama berulang dan bagi pihak Pejabat Daerah Baling, kita meneruskan usaha untuk membaik pulih infrastruktur di kawasan terjejas,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 15 buah rumah yang mengalami kerosakan dan telah dibuat pembaikan dan pihaknya bersama Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah serta penghulu dan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung terlibat telah mengenal pasti rumah yang rosak dan belum dibaiki untuk tindakan segera.
“Begitu juga dengan bekalan air bersih. Syarikat Air Darul Aman bertanggungjawab terhadap kerja membaik pulih sistem perpaipan yang terjejas agar penduduk menerima bekalan air bersih,“ katanya.-Bernama

