
Kota Kinabalu: Bekas Ketua Menteri Datuk Seri Yong Teck Lee menggesa Kerajaan membatalkan persembahan bunga api pada Hari Malaysia esok (Selasa) sebagai tanda solidariti terhadap mangsa banjir di seluruh Sabah.
“Saya dapat bayangkan keadaan penduduk Kota Kinabalu, terutamanya mangsa banjir yang terpaksa mendengar dentuman kuat bunga api yang ditonton oleh VIP ketika mereka masih berusaha pulih daripada banjir semalam,” katanya.
Katanya penjimatan wang daripada pembatalan persembahan bunga api itu wajar disalurkan kepada mangsa banjir, sambil mengatakan sudah terlalu banyak sambutan perayaan yang menelan belanja berjuta-juta ringgit.
Beliau juga berkata banjir yang melanda Dah Yeh Villa di Likas dan kawasan sekitarnya boleh dielak jika pintu kawalan banjir berfungsi dengan baik.
Walaupun menghargai kehadiran segera pegawai kanan dari kementerian dan jabatan berkaitan di tempat kejadian bagi menangani masalah operasi, Presiden SAPP itu berkata pembaikan segera tidak mencukupi bagi mencegah bencana pada masa depan.
Yong yang memeriksa kawasan dilanda banjir pada Ahad menyifatkan bencana itu berlaku ekoran kegagalan sistem pencegahan banjir yang didirikan di kawasan terbabit sejak 1990an.
“Pintu kawalan banjir dan pam tidak berfungsi seperti biasa, sebahagiannya berpunca daripada kekurangan bekalan elektrik ke pintu kawalan dan pam,” kata Yong.
Bekas Adun Likas dari 1985 hingga 2000 itu mendapati kedua-dua pintu dan pam untuk sistem pencegahan banjir itu gagal berfungsi ketika waktu kritikal apabila penduduk paling memerlukan perlindungan.
Beliau mencadangkan tiga langkah diperlukan untuk mencegah banjir di kawasan itu pada masa depan.
Ini termasuk membaiki segera serta menaiktarafkan pintu kawalan banjir dan pam air di Likas, membatalkan sebarang cadangan penambakan di lagun Likas yang pada asalnya direka dan diwartakan sebagai kolam mitigasi banjir pada 1980an dan menghentikan sebarang aktiviti pemotongan bukit di Permatang Simpanan Likas di sepanjang Jalan Tuaran, yang pasti akan mengakibatkan aliran deras air hujan dari bukit ke kawasan perumahan.

