Banjir: Bot lebih berharga dari emas

17 Dec 2022 • 7:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Chin (kiri) melayan pelanggan yang ingin mendapatkan bot fiber di kedainya di Banggol Kulim, Rantau Panjang.

RANTAU PANJANG - Penduduk di sini menyifatkan memiliki sebuah bot fiber lebih berharga dari emas memandangkan kawasan rumah mereka sering ditenggelami air termasuklah masalah banjir termenung.

Seorang penduduk, Fauzi Mohamad, 50, berkata, setiap rumah di Rantau Panjang wajib memiliki sebuah bot fiber bagi memudahkan mereka menyelamatkan diri apabila air Sungai Golok mulai melimpah masuk ke kawasan kediaman.

"Selain itu, kami yang diuji dengan banjir termenung sehingga lebih seminggu terpaksa menjadikan ia (bot fiber) sebagai pengangkutan untuk bergerak.

"Bagi kami bot adalah harta yang paling bermakna kerana semenjak projek tebatan banjir dibuat banjir yang melanda lebih dari sekali. Sebagai contoh tahun ini sudah tiga kali banjir berlaku," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu, peniaga, Chin, 57, berkata, tahun ini jualan bot fiber di kedainya laris bagaikan 'pisang goreng'.

Menurut dia, penduduk setempat lebih suka mendapatkan bot fiber jenis 3 hingga 3.5 meter yang berharga sekitar RM900 hingga RM1,800 sebuah.

Ujarnya, bot fiber yang dijual diambil dari pengusaha di Besut, Terengganu.

Chin memberitahu, selain itu enjin galah juga turut menjadi rebutan penduduk sehinggakan kadang kala ia habis bekalan.

"Untuk mendapatkan set lengkap bot fiber dan enjin galah, kos sekitar RM2,000 lebih diperlukan.

"Setakat ini setiap hari sepanjang tahun ada sahaja pembelian yang dibuat, malah sepanjang musim tengkujuh ini bot fiber sangat laris," katanya.