
Banjir Bukan Halangan Pengantin Bersanding
Indonesia — Banjir yang melanda daerah Cirebon di Jakarta tidak menjadi halangan buat pasangan pengantin untuk melangsungkan majlis perkahwinan mereka pada Ahad lalu.
Menerusi laporan Tribun News, Desa Jagapura Kulon meriah meraikan kedua pasangan mempelai, Dewi dan Sanjaya biarpun air banjir naik setinggi paras betis.
Tidak hanya itu, ahli keluarga dan sanak saudara juga dikatakan tetap bersemangat menyambut detik bahagia itu dan meneruskan majlis tersebut meskipun cuaca tidak berada dalam keadaan baik.
Kedua-dua pengantin yang mengenakan busana putih itu tidak lekang dari mengukir senyuman semasa hari bahagia itu.
Biarpun pada awalnya pengantin lelaki sedih dengan banjir yang melanda, namun melihat kehadiran para tetamu membuatkan dirinya bersemangat semula.
“Pada mulanya memang sedih, tapi tarikh sudah ditetapkan dan semua sudah ditempah, jadi mahu atau tidak, (majlis) mesti diadakan hari ini (Ahad).
“Alhamdulillah tetamu semua datang, buatkan saya lebih bersemangat disebabkan mereka yang semangat menemani dan memastikan majlis berjalan lancar.
“Air tinggi, sewaktu dalam perjalanan menghantar hantaran. Air mencecah setinggi paha (80 sentimeter), tetapi di sini (lokasi majlis perkahwinan) hanya setinggi betis (30 sentimeter),” kata pengantin lelaki menerusi temubual bersama Tribun News.
Meskipun bencana berlaku tanpa diduga, majlis perkahwinan tetap meriah dengan bantuan dari penduduk setempat yang turut sama membersihkan kawasan serta memastikan segalanya teratur bagi menyambut kedatangan para tetamu.
Dalam pada itu, salah seorang tetamu akui turut sama terkesan dengan semangat pasangan mempelai dan seisi keluarga yang cekal meneruskan majlis tersebut.
“Sangat kagum lihat mereka terus tersenyum dan meraikan hari istimewa ini walaupun dalam keadaan yang sukar.
“Inilah bukti yang cinta mampu mengatasi segala cabaran,” katanya.
Banjir yang melanda Jakarta sebelum ini dilaporkan melibatkan beberapa kawasan lain dan keadaan itu menganggu aktiviti penduduk setempat.
Difahamkan, jalan-jalan utama yang ditenggelami air telah menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Sumber: Tribun News
The post Banjir Bukan Halangan Pengantin Bersanding appeared first on Siakap Keli.
