Banjir Di Hatyai: Konsulat Saran Rakyat Malaysia Tangguh Perjalanan

LocalTravel
22 Nov 2025 • 6:53 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Bencana banjir di Hatyai dan wilayah selatan Thailand terus menjejaskan ribuan pelancong, termasuk rakyat Malaysia.

Memetik laporan daripada Bernama, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menasihatkan supaya menangguhkan perjalanan ke selatan Thailand sehingga situasi cuaca bertambah baik.

Banjir di Hatyai memburuk

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, berkata kebanyakan wilayah di selatan Thailand kini dilanda banjir akibat hujan lebat berterusan.

“Pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menasihatkan semua rakyat Malaysia yang berhasrat melancong atau melawat selatan Thailand supaya menangguhkan perancangan mereka buat sementara waktu ekoran cuaca buruk, hujan lebat berterusan serta banjir yang menjejaskan banyak kawasan,” katanya.

image is not available

Ribuan rakyat Malaysia terkandas akibat banjir di Hatyai

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di selatan Thailand supaya sentiasa peka dengan perkembangan cuaca, mengikuti pengumuman serta arahan pihak berkuasa tempatan, dan menjaga keselamatan diri.

Untuk sebarang bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi pegawai bertugas di talian +66 81 990 1930 atau melalui e-mel mwsongkhla@kln.gov.my.

image is not available

Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Hatyai-Songkhla, Dr Sitthipong Sitthiprapha, memaklumkan kira-kira 4,000 pelancong Malaysia terkandas di hotel-hotel sekitar Songkhla akibat jalan raya yang dinaiki air.

“Sejak malam tadi, lebih 4,000 pelancong Malaysia terkandas…mereka terdiri daripada mereka yang ingin pulang ke Malaysia melalui Sadao tetapi jalan utama dari Hatyai ke Sadao terputus kerana banjir, serta mereka yang terkandas di hotel akibat pekan Hatyai dinaiki air,” katanya.

image is not available

Artikel lain: Banjir Taiping: “Baca Doa Yah… Tolong!” – Wanita Jerit Cemas, Lelaki Gendong Bayi Dalam Air Paras Pinggang

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan sudah mengambil langkah segera, termasuk menyediakan makanan dan bot untuk memindahkan mereka ke kawasan selamat. Setakat ini, jumlah kenderaan pelancong yang ditenggelami air masih belum dapat dipastikan, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Banjir yang berterusan sejak Isnin lepas juga telah menjejaskan lapan wilayah selatan Thailand, memaksa hampir 124,003 keluarga berpindah ke kawasan lebih selamat.

Sumber: Bernama

The post Banjir Di Hatyai: Konsulat Saran Rakyat Malaysia Tangguh Perjalanan appeared first on Borak Daily.