Banjir di Kelantan, belum ada keperluan isytihar darurat

LocalPolitics
29 Nov 2024 • 9:10 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Ab Pattah Hasbullah menegaskan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negeri itu susulan banjir yang melibatkan 10 jajahan di negeri itu.

Jelasnya, situasi banjir yang melibatkan 39,728 mangsa itu masih jauh daripada keadaan untuk mengisytiharkan darurat dan sehingga kini keadaan masih terkawal.

“Berdasarkan pengalaman terutama pada tahun 2014, kita hanya mengisytiharkan darurat apabila paras air di Tangga Krai mencecah ketinggian 35.1 meter.

“Sehingga jam 12 tengah hari tadi, paras air di sini (Tangga Krai) baru mencapai 25.13 meter, iaitu kurang 10 meter daripada paras dicapai pada kejadian bah kuning 2014,” katanya.

Pelbagai prosedur sebelum isytihar darurat

Katanya, untuk mengisytiharkan darurat, pelbagai prosedur yang perlu dilakukan sebelum mencapai keputusan tersebut

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kelantan perlu bermesyuarat di peringkat negeri dengan di pengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kelantan, Datuk Nazran Muhammad.

“Selepas itu Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim akan dimaklumkan sebelum keputusan mesyuarat diangkat ke peringkat Persekutuan, iaitu kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Nadma akan memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan memutuskan perlu diisytiharkan darurat atau sebaliknya,” katanya.

Tambah beliau, apabila darurat diisytiharkan, semua asset dan peruntukan akan diuruskan oleh Persekutuan.

Memetik laporan dari Sinar Harian, jajahan Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 14,315 orang, Tumpat (4,464), Kota Bharu (3,951), Pasir Puteh (3,931), Kuala Krai (3,915), Tanah Merah (3,621), Machang (2,745), Bachok (1,858), Jeli (896) dan Gua Musang (32).