
KENINGAU: Dianggarkan lebih RM20 juta diperlukan untuk membaik pulih keseluruhan kerosakan kemudahan awam yang disebabkan banjir di daerah ini baru-baru ini.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, kerosakan itu termasuk jalan raya, jambatan dan kemudahan lain.
Katanya, anggaran ini juga merangkumi kos menambak hakisan tebing sungai di Kampung Gasabon, Kampung Lingggawon dan Kampung Minansut.
Jeffrey, yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, meminta semua jabatan berkaitan dan konsesi mengambil tindakan sewajarnya.
Ahli Parlimen Keningau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambunan itu menekankan, pembaikan kerosakan yang berlaku bukan mudah kerana ia memerlukan masa.
Sebagai contoh, katanya, penyelenggaran runtuhan tiga cerun paling kritikal di sepanjang jalan Keningau - Kimanis - Kota Kinabalu sudah tentu memakan masa lama.
“Selain itu, pembaikan jambatan rosak seperti jambatan Kampung Senagang dan Tuarid pun mengambil masa yang lama juga,” tambahnya.
Justeru itu, beliau menggesa penduduk terjejas untuk bersabar dan memberi kerjasama kepada jabatan berkaitan untuk memulihkan kerosakan infrastruktur ini.
“Jangan buat andaian dan tuduhan bukan-bukan serta menularkan melalui media sosial seolah-olah kerajaan tidak mengambil tindakan,” katanya semasa lawatan kerja di beberapa lokasi terjejas banjir di sini, baru-baru ini.
Dalam lawatan itu, Jeffrey diiringi oleh ketua-ketua jabatan berkaitan, meninjau kerja-kerja menyelenggara runtuhan di jalan Keningau-Kimanis dan jambatan rosak di Kampung Senagang Lama, kedua-duanya terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Terdahulu, beliau dan rombongan meninjau hakisan tebing sungai di Kampung Gasabon, Lingggawon dan Minansut di kawasan Bingkor yang turut terkesan dengan banjir.
Sempena lawatan itu, Jeffrey turut menyampaikan bantuan bakul makanan kepada 40 ketua isi rumah (KIR) di Kampung Senagang Laut dan Kampung Senagang Lama.



