Banjir di Perak pulih

6 Nov 2022 • 2:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Gambar hiasan - Foto fail Bernama

TAIPING - Banjir di Perak membabitkan kawasan sekitar Taiping dan Batu Kurau yang mengakibatkan ratusan penduduk dipindahkan pada Jumaat lepas telah pulih.

Setakat Ahad, enam pusat pemindahan sementara (PPS) telah ditutup sepenuhnya.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak dalam kenyataan memaklumkan, kini hanya satu PPS yang masih beroperasi iaitu di Surau Kampung Perak menempatkan tujuh mangsa daripada dua keluarga.

"PPS di Masjid Changkat Ibol, Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Abdullah, Sekolah Agama Rakyat Nurul Hikmah dan Surau Darul Ulum ditutup pada Sabtu, manakala PPS Masjid Al Wusta dan SK Matang Gelugur diisytihar tutup pada jam 1 petang tadi (Ahad)," katanya.

Semua PPS berkenaan dibuka pada Jumaat dan Sabtu susulan hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kampung dinaiki air dan hampir 300 penduduk terpaksa dipindahkan.

Kampung yang terjejas akibat banjir adalah Kampung Changkat Ibol, Kampung Sungai Petai, Kampung Acheh, Kampung Senduk, Kampung Serapoh, Parit dan Kampung Bendang Siam Batu 8.

Turut terjejas, Kampung Tengah Changkat Ibol, Kampung Matang Pasir, Kampung Matang Gelugor, Kampung Perak dan Kampung Jaha.