Banjir di Selangor, 685 mangsa berlindung di 10 pusat pemindahan setakat 8 pagi

7 Nov 2023 • 10:23 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available
1

SHAH ALAM, 7 NOV: Jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 685 individu melibatkan 174 keluarga setakat 8 pagi tadi.

Unit Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan ketika ini semua mangsa ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan rumah mereka dinaiki air.

Daripada jumlah berkenaan, mangsa paling ramai terkesan di Sepang membabitkan 498 individu diikuti Hulu Langat (87) dan Petaling (71).

Mangsa turut dilaporkan di Hulu Selangor (13), Kuala Langat (11) dan Gombak (lima).

Semalam EXCO pengurusan bencana melawat PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil dan menasihati orang ramai supaya peka dengan kejadian banjir selain mengikut arahan pihak berwajib bagi mengelak insiden tidak diingini.

Jelas Najwan Halimi, Kerajaan Negeri juga akan membantu semua mangsa termasuk sumbangan RM500 kepada setiap keluarga terjejas yang berdaftar di PPS.