Banjir di Tanah Merah pulih sepenuhnya, 3 PPS ditutup tengah hari ini

LocalEnvironment
26 Feb 2025 • 2:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Banjir di Tanah Merah pulih sepenuhnya apabila tiga PPS yang menempatkan 62 mangsa daripada 17 keluarga semalam, ditutup pada 12 tengah hari tadi - Gambar hiasan

KOTA BHARU - Banjir di Tanah Merah pulih sepenuhnya apabila tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan 62 mangsa daripada 17 keluarga semalam, ditutup pada 12 tengah hari tadi.

Penyelaras Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tanah Merah, Mohd Ahnaf Hanafi berkata, kesemua mangsa telah dibenarkan pulang selepas rumah mereka tidak lagi dinaiki air.

"Bagaimanapun, sekiranya banjir berlaku lagi penduduk diarahkan supaya segera berpindah ke PPS yang berdekatan bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Berdasarkan portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan Sungai Golok di Rantau Panjang berada pada paras bahaya dengan bacaan 10.3 meter (m) manakala Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah melepasi paras waspada iaitu 22.1 m.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan menasihatkan supaya masyarakat mengambil langkah keselamatan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa apabila berlaku banjir.

"Banjir berlaku lagi di Kelantan dan kali ini di luar jangkaan kita hingga menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air. Justeru, kita harap rakyat mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini. - Bernama