Banjir Kian Buruk, Malaysia Kerah Lebih 100,000 Anggota Ke Negeri Terjejas

24 Nov 2025 • 4:57 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR -  Lebih 100,000 anggota dan aset milik pelbagai agensi kerajaan telah ditugaskan ke semua negeri yang terjejas oleh Monsun Timur Laut. 

Langkah itu bertepatan dengan situasi semasa yang kian memburuk dan jumlah mangsa dipindahkan terus meningkat.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, seramai 11,009 mangsa daripada 3,839 keluarga telah ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat pagi tadi. 

Mobilisasi besar-besaran itu katanya, melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), RELA serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Situasi banjir Monsun Timur Laut dipantau setiap hari bagi memastikan keselamatan rakyat.

“Perhatian khusus diberikan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kawasan terjejas untuk memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat,” katanya.

Jelas Shamsul Azri, pemantauan harian dijalankan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui Pusat Kawalan Bencana Negara bagi memastikan tahap kesiapsiagaan dan keselamatan awam berada pada tahap tertinggi.

Setakat tengah hari tadi, NADMA merekodkan 11,518 mangsa daripada 4,056 keluarga di 63 PPS melibatkan 13 daerah di tujuh negeri, dengan Kelantan kekal sebagai negeri paling terjejas, membabitkan 8,259 mangsa di 33 PPS.

Dalam perkembangan berkaitan, rakyat Malaysia yang terkandas di Haytai, Thailand diingatkan agar tidak merisikokan diri dengan cuba pulang ke tanah air tanpa bantuan agensi berkaitan. 

Ketika ini, enam laluan utama yang menghubungkan Hatyai dengan sempadan Malaysia masih ditenggelami air hampir sedalam satu meter, menyebabkan kenderaan berat turut terkandas.

Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Sungai Petani, Leong Beng Tat berkata, lapan pasukan bomba sukarela dari Malaysia yang sedang menuju untuk memberikan bantuan terpaksa berhenti di Danok selepas jalan utama Hatyai–Sadao terputus.

“Bukan satu laluan sahaja yang ditenggelami air, malah lima lagi jalan turut terputus. 

“Paras air terlalu berbahaya untuk semua jenis kenderaan, termasuk pikap. Kami berharap rakyat Malaysia di sana tidak membuat cubaan pulang sendiri,” katanya.

Beliau memberitahu, pasukan dari Johor, Perak, Selangor dan Kedah sedang menunggu pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa Thailand sebelum meneruskan perjalanan.

Beng Tat  turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan tidak menaiki lori atau kenderaan lain bagi keluar dari kawasan banjir.

“Kesemua enam laluan ke sempadan masih tenggelam sehingga paras pinggang dan banyak lori terkandas. 

“Keadaan amat berbahaya untuk sebarang percubaan keluar secara sendiri,” katanya.

Beliau menambah, cuaca tidak menentu dengan hujan masih berterusan, manakala perjalanan bot dari Sadao ke Hatyai mengambil masa tiga hingga empat jam dan amat berbahaya. - Getaran, 24 November 2025