
KUALA LUMPUR: Hujan lebat berterusan sejak tengah hari tadi sekali lagi mengakibatkan beberapa kawasan dan laluan utama di Shah Alam dan Klang, dilanda banjir kilat.
Kejadian banjir kilat yang berulang itu menjejaskan kelancaran trafik, khususnya di sekitar Seksyen 7, laluan dari Klang menghala ke Shah Alam, Kota Kemuning dan Jalan Meru.
Berdasarkan tinjauan perkongsian pengguna di aplikasi Threads, air mula naik mendadak dan menenggelamkan sebahagian jalan raya sehingga menyebabkan pergerakan kenderaan di kawasan terjejas lumpuh seketika.
View on Threads
Malah, sebuah hantaran memaparkan laluan dari pusat bandar raya menghala ke Seksyen 7 turut dinaiki air, manakala jarak penglihatan pengguna jalan raya terjejas teruk berikutan hujan lebat.
Turut tular adalah rakaman visual memaparkan kawasan di Plaza Tol Kemuning menghala keluar ke Klang dinaiki air.
Selain itu, trafik turut dilaporkan sesak teruk susulan air menenggelami kawasan susur keluar Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) Seksyen 7 dan Bukit Raja.
Susulan kejadian yang kerap berulang di kawasan sama, rata-rata pengguna media sosial menasihatkan pemandu agar beralih ke laluan alternatif menghala ke Bandar Baru Klang bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan teruk.
Walaupun gambar dan video kenderaan bergerak perlahan meredah air tular secara meluas, kedalaman sebenar air dan jumlah keseluruhan kawasan yang terjejas belum dapat dipastikan.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor ketika dihubungi memaklumkan akan memberikan perkembangan banjir kilat berkenaan dari semasa ke semasa.
The post Banjir kilat berulang di Shah Alam, Klang, trafik sesak appeared first on Utusan Malaysia.




![[VIDEO] Puncak Alam dah jadi pulau’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-17-at-17.42.06-1024x667.jpeg)
