Banjir Kilat Di Ipoh, 93 Mangsa Dipindahkan Ke PPS

5 Oct 2022 • 9:23 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Hujan lebat yang berterusan sejak semalam telah mengakibatkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat. - Gambar dari Facebook Khidmat Malaysia

IPOH - Mangsa banjir kilat di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Chepor di sini, meningkat kepada 93 orang setakat 8 pagi hari ini berbanding 55 orang yang direkodkan malam semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai banjir akibat hujan lebat itu pada pukul 10.05 malam.

“Sebanyak 33 keluarga terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sri Klebang iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi banjir dan paras air semasa adalah kira-kira setengah meter," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pihak bomba sedang memantau lokasi terbabit dan kawasan Ulu Chepor yang turut dinaiki air.

Semalam, hujan lebat yang berterusan sejak petang hingga tengah malam menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat. - Bernama