
LAHAD DATU: Hujan lebat pada Khamis mengakibatkan banjir kilat di beberapa kampung di daerah ini.
Antara kampung yang dilanda banjir ialah Kampung Segama, Kampung Cocos, Kampung Sri Payung dan Kampung Pancuran.
Menurut orang awam, hujan lebat bermula pada pukul 3 petang dan air mula naik kira-kira pukul 4.30 petang.
Akibat banjir kilat, jalan utama di Batu 5, Jalan Segama tidak dapat dilalui kenderaan kecil.
Banjir kilat sering berlaku di kawasan terjejas semasa hujan lebat berterusan.
Sebelum ini, Adun Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi pernah membangkitkan isu banjir kilat semasa persidangan Dewan Undangan Negeri, namun tiada tindakan dilihat.
Mohamaddin sebelum ini meminta kerajaan mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung perkara ini memandangkan banjir kilat antara isu yang membimbangkan rakyat, terutama pada musim hujan.


