Banjir lagi: Tiga beranak berpaut di pokok pisang

LocalEnvironment
21 Mar 2025 • 1:24 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Patimang Abdul Ghani, Mardinah Jikur

KOTA MARUDU: Anggota bomba menyelamatkan seorang wanita bersama dua anaknya yang terperangkap akibat banjir di Kampung Langkon, dekat sini, pada Khamis pagi.

Tiga mangsa itu – seorang wanita, anak lelakinya berumur 20 tahun dan anak perempuannya berusia enam tahun – ditemukan berpaut pada rimbunan pokok pisang kira-kira jam 6 pagi.

Sepasukan empat anggota diketuai oleh PBK II KUP Saifuddin Samudin yang secara kebetulan menuju ke Kampung Tigaman untuk membuat pemantauan, dimaklumkan kejadian itu oleh seorang lagi anak mangsa.

Pasukan itu kemudian bertindak menyelamatkan mangsa menggunakan tali sebelum menghantar mangsa ke rumah saudara mereka.

Bomba seterusnya melakukan pemantauan secara berterusan di beberapa kawasan yang dinaiki air di sekitar daerah ini, berikutan hujan berterusan sejak Rabu.

Sementara itu, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini pada jam 9 pagi Khamis bagi menempatkan 912 mangsa banjir yang terdiri daripada 290 ketua isi rumah (KIR).

Pegawai Daerah Kota Marudu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Meirin Sugara berkata, setakat jam 5 petang, PPS SMK Teritipan menempatkan seramai 709 orang, manakala PPS SMK Bengkongan menempatkan seramai 203 mangsa.

PPS SMK Teritipan menempatkan seramai 337 dewasa, 253 kanak-kanak, 83 warga emas, 33 bayi dan tiga orang kurang upaya (OKU), manakala PPS SMK Bengkongan menempatkan 83 dewasa, 95 kanak-kanak, 18 warga emas, empat bayi dan tiga OKU.

Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Bengkongan, Beliajung, Panchur dan Kampung Tigaman.

Di SANDAKAN, hujan lebat sejak Rabu menyebabkan banjir di beberapa kawasan, membawa kepada pembukaan dua PPS di sini.

Pengerusi JPBD Sandakan merangkap Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Walter Kenson berkata, dua PPS itu ialah PPS Masjid Nurul Iman di Kampung Pertanian Batu 25, menempatkan empat ketua isi rumah (KIR) dengan 13 mangsa dari kampung itu, dan PPS Masjid Nur Iman di Kampung Sungai Memanjang, yang menempatkan 28 KIR dan 119 mangsa dari kampung tersebut.

Pada Khamis, Walter melawat kedua-dua PPS itu bersama Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sandakan, Kapt (PA) Sulaiman Salama.

Beliau juga menyampaikan kit makanan kepada mangsa terlibat daripada pihak pengurusan bencana negara, selain mendapatkan taklimat berkaitan situasi semasa daripada pihak berwajib.

Sekurang-kurangnya lima kejadian susur tanah dan tanah runtuh dilapor berlaku di Jalan Cecily, Kampung Pampang Batu 10, Taman Sentosa, jalan pintas ke Jalan Sibuga dari Batu Sapi serta Tanah Perkuburan Orang-Orang Islam Kampung Sim-Sim, di mana beberapa kuburan turut gelongsor berikutan susur tanah itu.

Di BELURAN, setakat 4 petang Khamis, sebanyak tiga PPS dibuka iaitu Dewan Balaban Jaya, yang menempatkan 15 KIR dan 47 mangsa dari Kampung Balaban Jaya; PPS Dewan Kampung Sungai Nangka (11 KIR dan 45 mangsa) dari kampung berkenaan, serta PPR SMK Pamol di Paitan dengan satu KIR dan tiga mangsa dari kampung tersebut.

Beberapa jalan di daerah Beluran, Kudat, Pitas dan Kota Marudu terputus hubungan pada Khamis akibat banjir yang melanda selepas hujan lebat berterusan sejak malam Rabu lepas.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam kenyataan memberitahu kilometer (KM) 3.68 Jalan Pekan Sungai-Sungai di Beluran tidak boleh dilalui oleh mana-mana jenis kenderaan akibat air sungai melimpah dan tiada jalan alternatif yang boleh digunakan buat masa ini.

“Di Kudat, Jalan Sebayan terputus hubungan di KM0.15 dan KM2.8 kerana banjir yang berlaku akibat hujan lebat berterusan. Jalan alternatif bagi KM0.15 adalah Jalan Sebayan Nangka, manakala tiada jalan alternatif buat KM2.8,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, KM4.44 Jalan Pinapak di Pitas dan KM125 Jalan Kota Kinabalu-Kudat di Kota Marudu terputus hubungan akibat kenaikan paras air sungai kerana hujan lebat dan tiada jalan alternatif untuk pengguna buat masa ini.

Sementara itu, KM0.32 Jalan Panikuan Toporoi di Kudat hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda, manakala KM0.42 Jalan Pantai Delima di Pitas hanya boleh dilalui kenderaan berat akibat banjir kerana hujan lebat berterusan.