
KUALA LUMPUR, 2 OKT: Seorang daripada 55 rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang susulan bencana banjir kilat di Nepal sejak 26 Ogos lalu disahkan selamat dan sudah pulang ke tanah air.
Jurucakap Solidariti Malaysia: Keluarga Dalam Harapan (MASFIH), Dr Manivannan Rethinam berkata lelaki berkenaan yang melancong bersendirian telah melaporkan diri di Kedutaan Malaysia di Kathmandu pada 1 Oktober, lapor Berita Harian.
Menurutnya, individu berkenaan selamat tiba di Malaysia pagi ini sebelum kembali ke pangkuan keluarganya selepas 37 hari tanpa kepastian mengenai keberadaannya.
Perkembangan itu menyaksikan jumlah rakyat Malaysia yang masih belum dikesan susulan bencana berkenaan kini berbaki 54 orang.
Bencana pada 26 Ogos itu berlaku selepas runtuhan ais dan batuan di kawasan tanah tinggi berhampiran sempadan Nepal-China mencetuskan banjir besar yang memusnahkan kawasan penempatan sekitar Sungai Lende Khola dan Sungai Trishuli, khususnya di daerah Rasuwa.
Sebelum ini, keluarga 55 rakyat Malaysia berkenaan mendapatkan penjelasan daripada kerajaan berhubung usaha pencarian, pengesahan serta pengenalpastian mangsa selepas lebih sebulan kejadian berlaku.
Proses mendapatkan kepastian mengenai status mangsa yang belum ditemukan turut melibatkan kerjasama pihak berkuasa Malaysia dan Nepal.





