Banjir Nepal: Abang kepada pegawai bomba hilang di Nepal sertai misi SMART

30 Aug 2026 • 5:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Banjir Nepal: Abang kepada pegawai bomba hilang di Nepal sertai misi SMART
Ahli keluarga mangsa yang hadir pada sesi taklimat mengenai rakyat Malaysia yang masih hilang susulan kejadian banjir besar di sempadan Nepal, di Wisma Putra hari ini. - Foto: Bernama

PUTRAJAYA - Abang kepada pegawai bomba yang masih gagal dihubungi di Nepal, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 44, akan menyertai misi bantuan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke negara itu susulan bencana yang melanda Rasuwa.

Mohd Saiful Munir, 46, berkata, beliau akan menyertai misi berkenaan sebagai anggota pasukan penyelamat, selain membawa harapan keluarga untuk mendapatkan perkembangan mengenai keadaan adiknya yang dikenali sebagai "Loe”.

Beliau berkata peluang untuk memasuki Nepal itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi menyumbang tenaga dan kepakaran dalam usaha membantu mangsa bencana, di samping mendapatkan perkembangan mengenai adiknya.

"Kita akan cuba yang terbaik, insya-ALLAH. Terima kasih juga kepada kerajaan kerana bagi satu laluan kepada kita, yang mana saya sendiri sebagai pasukan penyelamat, tetapi khususnya saya juga ada darah daging dekat sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi pertemuan bersama wakil Wisma Putra di sini hari ini.

Mohd Saiful berkata, kehadirannya di Nepal diharap dapat menyumbang tenaga dan kepakaran dalam misi bantuan, selain memberikan sedikit kelegaan kepada keluarga yang masih menunggu berita mengenai Mohd Fakhrul.

Semalam, Mohd Saiful dilaporkan berkata, beliau dan keluarga kekal positif serta berharap adiknya selamat bersama rakan-rakannya selepas mereka terputus hubungan susulan bencana yang melanda Rasuwa.

Beliau berkata keluarga masih berharap keadaan itu berpunca daripada gangguan komunikasi akibat bencana berkenaan, dan Mohd Fakhrul bersama rakan-rakannya berada dalam keadaan selamat.

Terdahulu, ahli keluarga rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan susulan tragedi banjir kilat dan tanah runtuh di Nepal mula memasuki pekarangan Wisma Putra di sini sejak 10 pagi tadi.

Pertemuan yang berlangsung kira-kira 11 pagi itu diadakan bagi membolehkan pihak kementerian dan Majlis Keselamatan Negara memberikan penerangan serta taklimat lebih jelas berhubung status dan usaha pencarian ahli keluarga mereka di kawasan bencana. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved