Banjir Nepal: Semua orang tunggu khabar abah – Menantu

28 Aug 2026 • 10:11 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Banjir Nepal: Semua orang tunggu khabar abah – Menantu

PETALING JAYA – “Semua orang tahan diri daripada menangis di rumah, abah. Semua orang tunggu khabar abah.”

Demikian luahan seorang wanita selepas dia dan keluarga gagal menghubungi bapa mentuanya itu yang sedang mengikuti perjalanan ke Nepal bersama lapan lagi rakyat Malaysia dikenali sebagai ‘Team Loe’.

Pengguna Threads, @waniyawww berkata, bapa mentuanya itu bukan merupakan pendaki berjalan kaki dan tidak mengikuti kumpulan pendakian Annapurna, sebaliknya bergerak menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Menurutnya, kumpulan berkenaan terdiri daripada sembilan peserta bersama seorang pemandu pelancong yang menggunakan dua buah kenderaan pacuan empat roda.

“Bapa mentua saya, mereka naik pacuan empat roda, bukan pendaki jalan kaki dan bukan team Annapurna.

“Pasukan abah, mereka melancong sembilan orang bersama seorang pemandu pelancong dengan dua Jeep,” katanya menerusi satu hantaran di Threads.

Wanita itu berkata, kali terakhir menerima khabar daripada bapa mentuanya adalah ketika lelaki berkenaan memaklumkan bahawa dia sedang menikmati minuman kopi pada pukul 8.45 pagi waktu Malaysia, kelmarin.

Sejak itu, keluarga mereka masih belum menerima sebarang berita apabila hubungan komunikasi dipercayai terputus akibat masalah capaian internet.

“Wani harap abah tak sampai lagi di sempadan itu. Semoga jauh lagi. Tapi kalau dah lepas, abah di tempat paling tinggi.

“Semoga abah sihat, selamat dan dipermudahkan segala urusan. Wani serahkan semuanya kepada Allah SWT,” ujarnya.

Perkongsian itu turut mengundang perhatian orang ramai yang menitipkan doa agar bapa mentuanya serta semua rakyat Malaysia yang berada di Nepal berada dalam keadaan selamat.

“Semoga pak cik dan semua Team Loe selamat dan berjaya pulang ke pangkuan keluarga,” kata Solehah.

“Ya Allah selamatkan abah @Waniyawww dan semua pasukan yang terlibat dalam bencana banjir di Nepal, sihatkan tubuh badan mereka, kuatkan mental dan fizikal mereka, kembalikan mereka ke pangkuan keluarga dalam keadaan terbaik Ya Allah Yang Maha Baik, Maha Menjaga dan Maha Memelihara,” kata @Ayu Hamid.

Sebelum ini, Kosmo! Online melaporkan kesemua ‘Team Loe’ dikhuatiri berdepan risiko tinggi terkena kepala air ketika dalam perjalanan menuju Lhasa Tour, Tibet, selepas mereka masih gagal dikesan dan tidak dapat dihubungi sejak kelmarin.

Pengerusi Majlis Rekreasi Malaysia, Muhamad Nur Azrul Che Zabani ketika dihubungi berkata, risiko berkenaan dijangkakan berlaku disebabkan mereka berada di jalur laluan kepala air kerana ia adalah kawasan lembah. – KOSMO! ONLINE

The post Banjir Nepal: Semua orang tunggu khabar abah – Menantu appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved