Banjir Nepal: Seorang selamat, 54 lagi rakyat Malaysia masih hilang

2 Oct 2026 • 1:28 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Banjir Nepal: Seorang selamat, 54 lagi rakyat Malaysia masih hilang

PETALING JAYA – Seorang daripada 55 rakyat Malaysia di Nepal yang sebelum ini dilaporkan hilang dan tidak dapat dihubungi susulan kejadian banjir dan tanah runtuh di negara berkenaan, telah disahkan selamat.

Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (Masfih), Dr. R. Manivannan berkata, individu berkenaan hadir sendiri ke Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu semalam.

Menurutnya, individu berbangsa Cina itu kembali ke Malaysia pada pagi ini dan kini bersama keluarganya.

“Dia melakukan perjalanan secara bersendirian dan merupakan satu-satunya pengembara solo yang kini disahkan selamat daripada senarai asal 55 rakyat Malaysia. Bagi Masfih dan keluarga, penemuan seorang rakyat Malaysia yang selamat pada hari ke-37 merupakan satu perkembangan amat melegakan dan sangat bermakna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan oleh waris dan keluarga bahawa individu tersebut berada di Nagthali Viewpoint pukul 3.26 petang pada 25 Ogos, iaitu sehari sebelum kejadian banjir dan tanah runtuh.

“Nagthali Viewpoint merupakan kawasan tanah tinggi dan berada jauh lebih tinggi berbanding kawasan Rasuwagadhi.

“Menurut maklumat disampaikan oleh waris, dia terkandas untuk suatu tempoh berikutan kemusnahan jalan dan jambatan, di samping ketiadaan bekalan elektrik, air dan akses internet yang menyukarkan pergerakan serta komunikasi,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan ini memberikan satu gambaran penting bahawa seseorang boleh berada dalam keadaan selamat, tetapi pada masa sama terputus komunikasi dan terkandas untuk tempoh panjang apabila jalan, jambatan, bekalan asas dan kemudahan komunikasi terjejas akibat bencana.

Sementara itu, Manivannan berkata, baki 54 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi bukan pelancong yang melakukan perjalanan secara bersendirian.

“Berdasarkan maklumat dikumpulkan dan disemak bersama keluarga, kesemua mereka melakukan perjalanan secara berkumpulan dalam beberapa kumpulan yang berasingan.

“Pecahan kumpulan perjalanan tersebut, 23 orang, 17 orang, sembilan orang, tiga orang dan dua orang yang bergerak bersama kumpulan pelancong daripada kewarganegaraan lain.

“Dari segi latar belakang etnik, mereka terdiri daripada 42 bangsa India, 11 Melayu dan seorang Cina,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Banjir Nepal: Seorang selamat, 54 lagi rakyat Malaysia masih hilang appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved