Banjir: Pahang terima RM27 juta daripada kerajaan persekutuan

19 Jan 2023 • 6:05 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUANTAN: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM27 juta kepada Pahang bagi menyelesaikan isu banjir secara jangka pendek, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (foto).

Beliau berkata peruntukan itu akan digunakan sebaik mungkin bagi melaksanakan kerja-kerja yang dapat meminimumkan masalah banjir misalnya pelebaran longkang dan membaiki infrastruktur yang rosak.

“Baru-baru ini kita juga terkesan akibat banjir, meskipun tidak teruk saya telah kemukakan permohonan kepada kerajaan Persekutuan dan nyatakan bahawa ada kerja-kerja untuk jangka masa pendek yang perlu diselesaikan dan mungkin boleh membantu kurangkan banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Banjir Monsun Timur Laut Daerah Kuantan kepada 206 ketua isi rumah (KIR) di Sekolah Kebangsaan Pelindung di sini hari ini.

Mengulas mengenai bantuan itu, Wan Rosdy berkata secara keseluruhan terdapat lebih 800 keluarga yang berpindah ke pusat pemindahan sementara layak menerima Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000.

Menurutnya bantuan tersebut disalurkan secara berperingkat dan akan diserahkan kepada penerima selewat-lewatnya 16 Feb ini.

Sepanjang tempoh Monsun Timur Laut baru-baru ini, tujuh daerah di Pahang terjejas dengan banjir iaitu Lipis, Jerantut, Raub, Temerloh, Bera, Kuantan dan Pekan. - Bernama