
Kota Moenjodaro di Pakistan yang merupakan salah satu khazanah dunia dilapor mengalami kerosakan teruk akibat banjir yang melanda negara itu sejak beberapa bulan lalu, lapor CNN.
Difahamkan, kota yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) itu dikatakan sudah wujud sejak kira-kira 5,000 tahun lalu.
Jabatan Kebudayaan, Pelancongan dan Jabatan Antik Negeri Singh (Pakistan) dalam satu surat kepada UNESCO berkata, pihaknya meluahkan rasa kecewa mengenai kerosakan khazanah dunia tersebut akibat banjir.
“Malangnya kami telah saksikan kemusnahan besar-besaran yang berlaku di tapak.
“Atas dasar kemanusiaan, kami berikan mereka tempat berteduh di kuarters, kawasan parkir dan kedai tingkat bawah di muzium,” katanya dalam surat itu, memetik CNN.
Sebelum ini, tapak itu digunakan sebagai tempat perlindungan sementara bagi mangsa banjir di sekitar wilayah tersebut, bagaimanapun mereka terpaksa dipindahkan ke tempat lain ekoran ia dinaiki air.

Dalam pada itu, surat tersebut turut menyertakan gambar yang diambil oleh penjaga tapak untuk menunjukkan keruntuhan batu-bata dinding dan lapisan lumpur yang menutupi kawasan kota berkenaan.
Surat yang ditandatangani oleh kurator Ihsan Ali, Abbasi dan arkitek Naveed Ahmad Sangah itu diakhiri dengan permohonan ihsan RM1.9 bilion kepada pihak UNESCO untuk menampung kos baik pulih.
Peruntukan UNESCO
Difahamkan, UNESCO memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta daripada dana kecemasannya untuk proses baik pulih semula tapak bersejarah yang rosak di Pakistan tersebut.
Dana itu disalurkan kepada pengurusan Moenjodaro serta tapak lain yang alami kerosakan termasuk Muzium Rakyat dan Kraft Sehwan, Muzium Amri dan Monumen bersejarah di Makli.

Walaupun peruntukan diberikan sedikit, namun ia dipercayai cukup untuk menanggung kos kerja baik pulih yang cepat, sementara pihak UNESCO dan jabatan berkenaan memikirkan cara lain pada masa hadapan.
Sebelum kejadian banjir berlaku, pihak konservator Moenjodaro telah mengetahui mengenai banjir yang akan dialami tapak itu dan akan menyebabkan risiko besar jika terjejas dan musnah.
Difahamkan, negeri Singh ditugaskan untuk melindungi Moenjodaro dan pernah diberi amaran mengenai pelanggaran empangan di hulu yang akan menyebabkan kerosakan besar.
Moenjodaro
Merujuk CNN, Moenjodaro yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO yang terletak di Lembah Sungai Indus, 508 kilometer dari Karachi itu dibina pada Zaman Gangsa iaitu kira-kira 5,000 tahun lalu.

Khazanah dunia itu telah memberi ‘kelebihan luar biasa kepada Tamadun Indus’ yang terdiri daripada ‘bandar terancang paling kuno di benua kecil India’.
Difahamkan, bandar itu merupakan metropolis sibuk yang mempunyai akses seperti pasar, tempat mandi awam, sistem kumbahan dan stupa Buddha yang kebanyakannya dibina daripada bata yang dijemur di bawah cahaya matahari.
Bagaimanapun pada tahun ini, Pakistan ‘terpaksa’ mencatatkan sejarah terburuk dalam bencana dunia yang dialami susulan hujan yang berlarutan sejak Jun lalu.
Kerosakan satu pertiga Pakistan
Pada masa ini, satu pertiga Pakistan dipercayai ditenggelami banjir selepas hujan lebat monsun serta gabungan dari air glasier yang mencair.
Sehubungan itu, struktur Moenjodaro yang kebanyakannya pernah ditemui pada tahun 1920-an dahulu telah pun rosak ekoran terdedah kepada kerosakan alam sekitar.
Sumber: CNN
The post Banjir Pakistan: Tapak Warisan Dunia UNESCO Berusia 5,000 Tahun Rosak Teruk appeared first on Siakap Keli.

