Banjir pulih, dua PPS di Baling ditutup

22 Sep 2023 • 8:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan banjir kilat di Mukim Tawar dilaporkan kembali pulih pada Jumaat.

image is not available
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat (dua kiri) ketika melakukan pemantauan di PPS Masjid Islahiyah Tawar pada Jumaat.

BALING - Dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Mukim Tawar di sini, ditutup sepenuhnya selepas cuaca pulih pada petang Jumaat.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, operasi dua PPS yang menempatkan 102 mangsa banjir daripada 33 keluarga di daerah ini, telah ditamatkan pada jam 7 petang.

Menurutnya, kesemua mangsa dibenarkan pulang setelah keadaan banjir reda dan rumah selamat untuk didiami.

"Mangsa banjir kilat iaitu 91 individu daripada 31 keluarga di PPS Masjid Islahiyah dan 11 mangsa daripada dua keluarga di PPS Masjid Binjul Luar di Tawar dibenarkan pulang," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, hujan lebat di beberapa kawasan di Baling menyebabkan berlakunya banjir kilat berikutan air sungai melimpah pada petang Khamis.

Ia termasuklah di Kampung Iboi dan Kampung Padang Empang di Mukim Kupang manakala Kampung Charuk Akar dan Kampung Binjul Luar di Mukim Tawar.

Bagaimanapun, hanya dua buah PPS dibuka di Mukim Tawar memandangkan tiada perpindahan mangsa dilakukan di Mukim Kupang berikutan keadaan paras air masih terkawal.